Selamat Hari Guru 2009: “Guru Pembina Negara Bangsa”

GURU…JASAMU SENTIASA DIKENANG

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

2009_KPM_49_4732_6104

TARIKH 16 MEI adalah dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Setiap tahun, sambutan Hari Guru diadakan bagi meraikan dan menghargai warga pendidik yang bertungkus-lumus menabur jasa dan bakti demi memastikan anak bangsa berjaya.

Bertemakan “Guru Pembina Negara Bangsa”, Hari Guru ke-38 tahun ini disambut dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, tema itu adalah sejajar dengan teras pertama Pelan Induk Pendidikan Negara (PIPP), Kementerian Pelajaran, iaitu Membina Negara Bangsa.

Selamat Hari Guru

Sempena hari guru pada tahun ini, marilah kita merenung dan menghayati pepatah Melayu “Guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain”. Pengertian ini sangat mendalam. Ia bermakna, guru sedia berkorban, masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya. Sama ada di dunia dan akhirat.

Oleh itu, wajarlah seorang guru itu perlu dihormati dan disayangi. Tetapi sejak kebelakangan ini, rasa hormat dan sayang terhadap guru semakin terhakis. Bukan sahaja pelajar, malah ibu bapa juga menunjukkan sikap angkuh dan rendahkan guru.

Boleh dikatakan 99 peratus daripada lebih 360,000 guru di Malaysia adalah mereka yang sentiasa mempunyai rasa tanggungjawab dan detik hati kecil untuk membantu anak didiknya berjaya.

Tidak ada guru yang akan berfikiran sebaliknya malangnya masyarakat suka dan cepat melihat keburukan daripada kebaikan dengan memberi tumpuan kepada kejadian yang dilaporkan media mengenai keburukan dan menghukum dengan pandangan serong serta prasangka, khususnya ibu bapa.

Keadaan ini membimbangkan kerana kerap berlaku ibu bapa tanpa usul periksa hanya mendengar sebelah pihak dan menyerang guru dengan mengambil tindakan yang menjejaskan kewibawaan mereka.

Oleh itu, amatlah wajar sekali kita mengembalikan rasa hormat kepada guru dalam apa cara sekalipun di Hari Guru ini untuk mengenang jasa mereka kita.

Dikesempatan ini juga, ana ingin mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua guru-guru yang pernah mengajar ana sejak peringkat rendah sehinggalah sekarang. GURU….Jasamu sentiasa dikenang, malah aku sentiasa berdoa…Semoga anda BAHAGIA dan diRAHMATI Allah SWT selalu.

Seterusnya kepada teman-teman seperjuangan warga pendidik SK Tanjong Manis, ana mengucapkan “Selamat Hari Guru” semoga kita semua menjadi seorang guru yang jujur, bertanggungjawab dan berintegriti…

Di bawah ini adalah lagu tema Hari Guru pada tahun ini :

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Tanjong Manis, 15 Mei 2009 / 19 Jumad Awal 1430 H
https://ibnismail.wordpress.com

4 Responses to Selamat Hari Guru 2009: “Guru Pembina Negara Bangsa”

  1. ummuaimi berkata:

    Selamat Hari Guru buat Ustaz

    ****KAM : Terima kasih….****

    Like

  2. zuhaida berkata:

    selamat hari guru tok cikgu sekolah sri utama petaling jaya 227 b

    Like

  3. Siti Fatimah Ahmad berkata:

    Assalaamu’alaikum…

    Selamat Hari Guru

    Guru Sebenar Guru
    Ke sekolah Tidak jemu
    Mengajar Tidak lesu

    ****KAM : Waalaikummussalam wbt…Mudah2an diri ini bisa menjadi guru sebenar guru…****

    Like

  4. Noor Akma berkata:

    Selamat Hari Guru kpd semua guru yang telah menabur bakti kepada negara. jasa mu akan di kenang hingga ke akhir hayat.
    drpd anak didik guru2 di smk belara, 6 atas al-razi 2010.

    Like

Tinggalkan Jawapan kepada ummuaimi Batal balasan