Tunjuk Teladan Yang Baik

HARI ini, hari terakhir UPSR. Hariz tidak banyak bercakap ketika dia dan rakan-rakannya berkumpul di sebuah bilik khas sebelum mereka melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Seperti hari-hari sebelumnya, aku mengepalai bacaan doa selamat sebelum mereka masuk ke dewan perjuangan.

Aku perhatikannya sahaja. Mungkin Hariz gemuruh. Maklumlah hari ini hari terakhir dan hari ini juga dia dan rakan-rakannya akan diuji dengan kertas mata pelajaran sains. Aku menebak saja. Aku tidak tahu apa yang difikirkan Hariz.

Sebelum dia dan rakan-rakannya beratur masuk ke dewan peperiksaan, sempat aku mendekati Hariz menepuk bahunya.

“Kamu jangan takut. Tenangkan hati. Semalam ustaz dah doakan untuk kamu, hari ini ustaz yakin kamu boleh jawab soalan dengan baik. Dalam dewan nanti, jangan lupa banyakkan berselawat.” kataku memberi semangat untuk menenangkan hati Hariz.

Ketika aku sedang mengajar di kelas 3 Gemilang, pintu kelas diketuk. Terdengar seseorang memberi salam. Aku melihat Hariz berdiri di muka pintu dengan senyuman. Aku mempelawanya masuk. Semua mata di dalam kelas tersebut memandangnya. Hariz tersipu-sipu malu.

“Merdeka! Ustaz. Saya sudah merdeka hari ini. Periksa dah habis.” Ujar Hariz. Wajahnya nampak gembira dan ceria. Barangkali beban yang ditanggungnya selama ini telah terlerai hari ini. Aku tumpang gembira.

“Em, kalau periksa dah habis, buat apa lagi bermain di sini, baliklah. Berehat di rumah.” Balasku ringkas.

“Sebelum saya balik rumah, saya nak jumpa ustaz sekejap. Boleh tak?”

“Emm boleh saja. Tetapi sekarang saya ada kelas, boleh kamu tunggu saya di surau. Habis kelas nanti saya pergi sana jumpa kamu.”

Loceng berbunyi. Pengajaran aku di kelas 3 Gemilang tamat. Semua murid bangun dan mengucapkan terima kasih. Aku berjalan pergi ke surau. Aku lihat Hariz sedang menungguku. Ditangannya dia memegang sebuah surat yaasin. Mungkin semasa dia menungguku, dia membaca yaasin. Dia memang sudah lancar membaca al-quran dan salah seorang murid yang suka membaca al-quran di sekolah.

“Ada apa kamu nak jumpa saya, ada hal penting ke nak dikongsi?” tanyaku.

“Saya takut ustaz.”

“Takut apa pulak. Kawan-kawan kamu semua bergembira hari ini bila habis periksa, tapi kamu ni pelik sikit, takuttt..”

“Saya takut ibu bapa saya masuk neraka ustaz.”

Aku terkejut apabila Hariz berkata sedemikian. Kenapa dia berkata begitu kepada kedua ibu bapanya. Apa maksudnya. Persoalan ini berlegar-legar di halaman rumah fikirku.

“Kenapa kamu berkata begitu? Masuk syurga atau neraka, itu bukan urusan kita. Ini semua adalah urusan Allah. Allah Maha Berkuasa. Kita sebagai manusia tak boleh menentukan manusia lain sama ada masuk syurga atau neraka.” Tegasku.

“Saya takut ibu bapa saya masuk neraka sebab mereka tak solat. Kan ustaz ada cakap hari tu semasa mengajar di kelas kami, orang yang tak solat akan Allah masukkannya ke dalam neraka.” Terang Hariz meluahkan isi hatinya.

Tersentuh hati aku apabila mendengar luahan Hariz. Sepatutnya kamu bergembira hari ini setelah UPSR berakhir. Tetapi kamu masih lagi memikirkan hal ibu bapa kamu. Jarang sekali seorang anak yang umurnya baru 12 tahun sudah berfikiran seperti ini. Kamu memang anak yang baik. Beruntung ibu bapamu mempunyai anak sepertimu. Bisik hati kecilku.

“Berhubung ibu bapa kamu tak solat tu, usahlah kamu fikir dulu. Hari ini kan hari kamu merdeka, maka merdekakan mindamu daripada segala masalah. Hari ini juga hari senyum sedunia. Makanya kamu kena senyum.. Senyum…” Usikku agar fikiran Hariz tidak terbeban dengan masalah yang dihadapinya.

“Baiklah, saya akan beri beberapa cadangan kepada kamu bagaimana untuk menegur dan menasihati ibu bapa kamu yang tak solat itu. Nak dengar tak?” tambahku lagi.

Aku melihat wajah Hariz kembali ceria. Mungkin inilah tujuannya dia teringin sangat berjumpa denganku. Bersungguh-sungguh dia hendak mendengar apa cadangan yang akan aku cadangkan nanti. Sepertinya dia tidak sabar lagi menunggu untuk mendengarnya.

“Kamu kena ingat, sebagai seorang anak, walaupun ibu bapa kita tak solat, kita wajib juga menghormati mereka selagi mana mereka tidak menyuruh kita melakukan perbuatan yang dimurkai Allah. Jangan derhaka kepada mereka. Dengar nasihat mereka, jangan membantah. Jangan berhenti berdoa kepada Allah agar diberi hidayah dan dibuka pintu hati untuk solat. Dan saya nak pesan lagi, kalau kamu nak menegur ibu bapamu yang tak solat itu, tegurlah dengan berhemah. Jangan menyakiti dan melukai hati mereka.” Pesanku.

“Bagaimana saya nak menegur supaya tak menyakiti dan melukai hati mereka ustaz?, saya tak faham.” Tanya Hariz bersunguh-sungguh.

Kamu tegur mereka dengan perbuatan. Dalam berdakwah, banyak cara boleh kita lakukan. Tak semestinya kamu bertazkirah kepada mereka. Apa kata, mulai hari ini kamu jadi role model kepada adik-adik dan kedua ibu bapamu. Kamu sebagai anak sulung, tunjuk contoh teladan yang baik kepada mereka. Maksud saya, solat kamu juga jangan tinggal. Bila masuk waktu solat, ajaklah adik-adikmu solat berjamaah dihadapan kedua ibu bapamu. Biar mereka lihat kamu dan adik-adik solat. Jangan pula kamu bersolat di dalam bilik pula.

Solatlah diruang tamu atau di mana tempat mereka berehat atau tengok tv. Lakukan seperti ini selalu. Mudah-mudahan apabila selalu mereka melihat kamu solat di hadapan mereka, pasti mereka akan berasa malu. Anak-anak mereka khusyuk bersolat, mengadap Tuhan. Sedangkan mereka pula khusyuk mengadap tv melayani drama yang terang-terang melalaikan.

Di samping itu, jangan lupa selalu berdoa untuk mereka. Saya yakin, berkat doa kamu, suatu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka untuk menunaikan solat seperti mana yang kamu harapkan. Jangan pernah berputus asa. Banyak bersabar. Kemudian berserahlah kepada Allah.

“Kamu faham tak apa yang saya cakap ni?” Tanyaku sambil merenung dalam-dalam mata Hariz.

“Faham ustaz.” jawab Hariz ringkas.

“Em kalau faham, mulai hari ini balik rumah nanti, terus praktikkan apa yang saya cadangkan tadi.” saranku dengan harapan Hariz dapat melakukan apa yang aku cadangkan.

“Insya-Allah ustaz, balik nanti saya akan ajak adik-adik untuk solat asar berjamaah dan seterusnya. Saya akan ajarkan mereka tentang solat. Saya ingat lagi pesan ustaz, saya tak nak diri saya ditarik oleh adik-adik saya masuk neraka sebab tak ajar mereka solat. Malah saya yang ingin tarik mereka supaya dapat masuk syurga bersama.” Begitulah janji anak kecil ini untuk melihat keluarganya menunaikan rukun Islam yang kedua itu.

Jam ditanganku menunjukkan pukul 1. Sebentar lagi aku ada kelas ganti kelas 5 Cemerlang. Hariz meminta izin untuk pulang. Pulanglah! Dirimu sudah merdeka hari ini. Bergembiralah, semoga impianmu untuk melihat ibu bapamu bersolat menjadi kenyataan nanti. Aku gurumu, sentiasa mendoakan semoga usaha dan ketulusan hatimu ini dipermudahkan oleh-Nya.

14 September 2017,

Teratak Sri Pauh.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

%d bloggers like this: