Ibu Bapa Tak Solat

TAMAT UPSR hari kedua. Ketika aku sedang menulis rancangan harian di meja dalam bilik guru, hari ini dia datang lagi berjumpa dengan ku seperti kelmarin.

Dia datang bersalaman denganku sebelum melangkah pulang. Katanya, “ustaz, tolong doakan saya lagi untuk exam esok ya.” Kami bersalaman dan saling membalas senyuman. Dia memberitahu, hari ini dia dapat menjawab soalan periksa dengan lancar. Begitu juga kelmarin. Kemudian dia meminta izin untuk pulang.

Sebelum dia melangkah pulang, sempat juga aku menitipkan nasihat dan kata-kata semangat kepadanya. Jangan tinggal solat fardu, selalu solat hajat dan banyakkan berdoa. Itulah antara inti nasihatku kepadanya.

Tak semena-mena, wajah yang datang kepadaku tadinya gembira berubah secara tiba-tiba menjadi muram dan sedih. Aku lihat matanya mula merah dan berair. Akhirnya air dingin itu jatuh jua mengalir membasahi pipinya. Teresak-esak dia menangis. Mujurlah dalam bilik guru ini tak ada guru lain. Hanya kami berdua. Aku berasa hairan kenapa begitu mudah sekali air matanya tumpah.

“Terima kasih ustaz sudi mendoakan saya, nasihatkan saya. Mak ayah saya tak pernah pun mendoakan saya. Macam mana saya nak lulus ustaz. Kawan-kawan lain semua ibu bapa mereka doakan. Saya tidak ustaz.” Dia bersuara lemah meluahkan segala gelodak isi hatinya sambil mengesat air matanya.

Aku terdiam. Menahan sebak dihati mengenangkan nasib anak didik seorang ini. Aku faham benar masalah yang ditanggung dan dihadapinya. Dia pernah bercerita kepadaku ketika aku mengajarnya di tahun lima tahun lepas. Itu pun setelah berkali-kali aku bertanya, barulah dia mahu bercerita masalahnya. Dia seorang pelajar pendiam dan perahsia. Dia boleh diketegorikan sebagai murid yang sederhana dalam pelajarannya. Begitu juga dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang aku ajar.

“Jangan kamu berkata begitu dan menuduh ibu bapa kamu. Tak baik. Mereka mestilah berdoa untuk kamu. Cuma kamu saja tak nampak ketika mana mereka berdoa. Mana ada ibu bapa di dunia ini tak mendoakan kejayaan anaknya dan sanggup melihat anaknya gagal. Begitu juga ibu bapa kamu. Mereka mestilah selalu berdoa untuk kamu dan ingin melihat kamu lulus cemerlang UPSR ini.” pujuk aku untuk menenangkan hati sedihnya.

“Memang saya tak nampak ibu bapa saya berdoa ustaz. Sebab mereka masih tak solat. Tak pernah saya melihat mereka solat. Kalau tak solat, macam mana nak berdoa untuk saya ustaz. Saya tak menuduh mereka.” ujarnya.

Dia pernah bercerita, kedua ibu bapanya tak pernah menunaikan solat lima waktu. Dia tak pernah melihat ibu bapanya solat di rumah. Malah, ibu bapanya juga jarang sekali bertanyakan hal berkaitan pelajarannya. Sibuk bekerja katanya. Ibunya bekerja sebagai exsekutif di sebuah syarikat di bandar Georgetown. Manakala bapanya pula bekerja sebagai kerani di sebuah kilang di Prai.

Takpelah. Walaupun ibu bapa kamu tidak solat, kamu wajib menghormati mereka. Jangan pernah berhenti berdoa kepada Allah agar dibuka pintu hati mereka untuk berubah suatu hari nanti. Tugas kamu sekarang adalah belajar. Belajar bersungguh-sungguh, beri tumpuan sepenuhnya kepada UPSR sekarang ini. Serahkan urusan ibu bapa kamu itu kepada Allah.

Ibu bapa walaupun sibuk bekerja sekalipun, berilah sedikit masa untuk anak-anak. Jangan menyerahkan tugas mendidik itu bulat-bulat kepada pihak sekolah. Sepatutnya ibu bapa di rumah juga perlu menjadi role model kepada anak-anak. Jangan abaikan pelajaran mereka. Pelajar seperti ini, mereka perlukan perhatian dan kasih sayang terutama daripada kedua ibu bapanya.

Selepas dia melangkah pulang, pelbagai persoalan bermain dibenakku. Kenapa dia seorang sahaja berjumpa dan bersalaman denganku sebelum pulang. Mana murid yang lain. Dari kelmarin aku tunggu, hanya dia. Ya, hanya dia. Sebagai seorang guru, aku sentiasa berdoa agar kamu dan kawan-kawan yang lain berjaya dunia akhirat. Semoga kejayaan milikmu wahai anak didikku.

Adakah kamu akan datang lagi berjumpa denganku esok? Aku sentiasa menunggu kedatanganmu.

 

12 September 2017,

Teratak Sri Pauh.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: