Paderi Australia Akui Kalimah Allah Hanya Untuk Orang Islam

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Paderi Australia, Pastor Brutus Balan, menegaskan bahawa kepenggunaan kalimah Allah tanpa mengira dari mana asal bermulanya perkataan itu, adalah jelas berkaitan aspek ketuhanan Islam.

Paderi Gereja Baptist itu berkata, adalah salah untuk membuat sebarang terjemahan daripada kitab Injil bagi penggunaan kalimah Allah kerana ia akan menyebabkan kekeliruan serta kekaburan dalam membezakan antara ajaran Injil dan al-Quran.

Menurutnya, polemik penggunaan kalimah Allah tidak wajar dihujah mengikut ilmu semantik atau pengertian makna semata-mata.

“Kenapa tidak media Kristian, akhbar dan penterjemahan Injil menggunakan bahasa Hebrew bagi ‘Yahweh’ sebagai ‘Lord’ dan Elohim sebagai ‘God’ atau dalam bahasa Melayu atau Arab dan juga bahasa lain selain daripada kalimah Allah.

“Penggunaan kalimah Allah akan menyebabkan kekeliruan bagi penganut Islam Melayu dan Kristian sendiri dengan Tuhan mana satu yang dirujuk sebagai Allah kerana kedua-duanya merujuk aspek ketuhanan berbeza,” kata beliau melalui laman sosialnya, di Facebook.

Dalam laman itu, paderi berusia 61 tahun itu turut menjawab dan menjelaskan pelbagai persoalan yang ditimbulkan orang ramai terutama penganut Kristian dan Islam bagi mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi penggunaan kalimah Allah di negara ini.

Balan dalam perbincangan topik ‘Kristian Tidak Patut Menggunakan Kalimah Allah’ mengemukakan hujah, fakta dan pendapatnya secara panjang lebar yang turut dimuatkan dalam beberapa laman web dan blog tempatan seperti Rausyanfikir.com dan Tun Faisal.dot.com.

Kontroversi itu tercetus berikutan bantahan umat Islam berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald-The Catholic Weekly pada 31 Disember tahun lalu.

Balan dalam memperkukuhkan hujahnya juga bertanya, bolehkah penganut Kristian dalam kalangan bangsa India menggunakan perkataan ‘Brahma’ untuk God dalam kitab Injil apabila diterjemahkan dalam bahasa Tamil.

“Jadi, biarlah penganut Islam menggunakan kalimah Allah bagi merujuk sifat suci ketuhanan mereka dan orang Kristian tidak wajar melakukan provokasi terhadap sensitiviti penganut Islam atau terus mendesak.

“Penganut Kristian wajar mengenal pasti dan membezakan doktrin dan kepercayaan mereka serta tidak menggunakan istilah yang diambil daripada perkataan Arab untuk diterjemah dalam kitab Injil.

“Kita semua manusia yang mempunyai matlamat sama. Kita tidak menentukan keturunan kita, tetapi kita boleh memilih kepercayaan kita. Kita boleh membincangkannya secara bebas tanpa rasa bimbang atau terancam,” katanya yang menjadi paderi di Australia sejak 32 tahun lalu.

Sehubungan itu, tambah beliau, kita tidak mempunyai pilihan lain, sebaliknya kita mestilah memilih untuk hidup dalam keadaan aman damai bersama jiran kita.

“Semua pihak perlu hidup dalam keadaan aman dan kasih sayang kerana keganasan dan tekanan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” tambahnya yang berasal daripada Kuala Lumpur dan kemudiannya berhijrah ke Australia pada 1972.

Sumber Rujukan : sabahdaily.com

Tanjong Manis, Sarawak
Jumaat
22 Januari 2010 / 07 Safar 1431
https://ibnismail.wordpress.com

1 Responses to Paderi Australia Akui Kalimah Allah Hanya Untuk Orang Islam

  1. Pengayau berkata:

    “Islam tidak melarang pengunaan perkataan Allah di kalangan bukan Islam tetapi dengan syarat,konteks pengunaan itu tidak boleh secara langsung dan tidak langsung nya menimbulkan kekeliruan dan menjurus kepada kesesatan kepada umat Islam.

    Apa yang yang dikhuatiri adalah pemahaman tentang Allah itu boleh terpesong kerana dlm Agama Kristian,mereka percaya kepada konsep Holy Trinity yang mana dlm erti kata lain,Allah itu ada sekutu dan di sekutukan

    Tetapi dari segi Islam,Allah itu hanya satu dan tiada sekutu ataupun di sekutukan.Oleh itu,ini lah yang menimbulkan kebimbangan jika pengunaan perkataan Allah tersebut oleh bukan Islam,boleh memesongkan akidah umat Islam jikalau salah dari segi PENGUNAAN nya.

    Walaupun begitu,soal pokok nya di sini adalah AKIDAH dan PEMAHAMAN seseorang ISLAM tentang agama nya sendiri.

    Pengunaan perkataan Allah oleh bukan Islam tidak membawa apa-apa kesan kepada umat Islam jikalau umat Islam itu sendiri tinggi AKIDAH nya

    Di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah.

    Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan

    khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

    Who is ALLAH?What is ALLAH?

    Like

Tinggalkan komen