Tazkirah : Kelulusan Lesen Judi Bola, Haram Tetap Haram

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Foto : Ihsan Malaysiakini

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Sebagai seorang Islam yang telah mengakui beriman kepada Allah SWT dan mengikuti segala perintah dan larangan-NYA berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah, maka atas dasar itulah serta tanggungjawab sebagai seorang mukmin tergerak di hati ini sekali lagi untuk menulis perihal judi bola yang heboh diperkatakan sekarang ini.

Perlu diingatkan juga bahawa penulisan ini bukan bersifat menghasut, bukan berpihak kepada mana-mana organisasi atau individu dan juga bukan bersifat kepartian, malah penulisan ini adalah ikhlas dari saya untuk tatapan semua pihak lebih-lebih lagi yang beragama Islam. Mudah-mudahan ia bermanfaat kepada semua.

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Saya percaya semua orang mengetahui bahawasanya judi itu adalah jelas haram di sisi Islam. Malah agama lain pun turut mengharamkan judi kecuali anak kecil yang belum mengetahui apa-apa (belum baligh) tentu mereka tidak mengerti apa itu judi? Halal atau haram? Di dalam al-Quran dengan jelas Allah SWT menegaskan kepada kita bahawasanya judi itu adalah haram dan perbuatan itu juga merupakan amalan syaitan. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah, ayat 90-91)

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Ingatlah!!! Sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah SWT tiada kebaikannya. Malah apabila dilakukan juga, ia akan memberi kesan buruk kepada individu, masyarakat, agama dan negara. Sebagai contoh, Allah SWT melarang dan mengutuk perbuatan zina. Tetapi perbuatan terkutuk ini berlaku secara berleluasa di dalam negara kita. Maka apa sudah jadi sekarang??? Lihatlah berapa ramai anak-anak yang tidak berbapa dilahirkan setiap tahun. Malah anak yang tidak berdosa ini dibuang dan dibunuh sesuka hati.

Begitu juga dengan judi. Perkara haram tetap haram. Matlamat tidak menghalalkan cara. Menurut pandangan saya, sekiranya pertaruhan atau perjudian dihalalkan dengan memberi kelulusan lesen di negara ini, ia akan banyak menimbulkan perkara-perkara negatif kepada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Misalnya berlakunya pergaduhan, anak isteri diabaikan, menanggung beban hutang, kecurian dan sebagainya.

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Ya…Memang benar lesen pertaruhan itu hanya diluluskan kepada premis-premis yang bukan Islam sahaja beserta dengan syarat-syaratnya, tetapi yakinkah anda (pihak berkenaan), bahawa si mangkuk ayung (kaki judi) yang beragama Islam ini tidak pergi ke premis-premis tersebut??? Tepuk dada tanya kepala lutut. Fikir-fikirkanlah….

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

11 Mei lalu, Kementeri Kewangan secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA. Sehubungan keputusan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Oleh itu, saya secara peribadi sekali lagi mengharapkan pihak berkenaan menarik balik kelulusan tersebut. Kerana dengan kelulusan lesen perjudian tersebut, kita seolah-olah menggalakkan dan menghalalkan rakyat negara ini melakukan perbuatan yang tidak bermoral itu. Ini bertentangan dengan suruhan Allah SWT iaitu “Amar Makruf Nahi Munkar”.

Saudara/saudariku muslimin dan muslimah yang dirahmati Allah SWT,

Saya percaya sebagai mukmin yang waras, yang mempunyai maruah, yang mempunyai jati diri Islam serta mempunyai iman yang mengakui cinta dan sayang kepada Allah SWT dan Rasul-NYA, mereka akan membantah sekeras-kerasnya tindakan kelulusan lesen perjudian ini. Kerana secara tidak langsung sesiapa yang redha dan terima dengan kelulusan perjudian ini akan mendapat sahamnya di akhirat kelak. Fikir-fikirkanlah…

Sebagai pemimpin yang mengakui negara ini adalah sebuah negara Islam, maka seharusnya sejak awal-awal lagi tidak bercadang untuk mengadakan lesen judi, apa lagi untuk meluluskannya.

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Saya tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Matan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata, “kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan. Rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.”

Tambah beliau lagi, “pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan. Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam agama lain tak suka juga.”

Saudara/saudariku muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah SWT,

Sebelum saya mengakhiri kalam ini, sekali lagi saya menyeru dan merayu agar pihak berkenaan akan membuat satu pengumuman dalam masa terdekat berhubung penarikan semula kelulusan lesen perjudian yang telah dikeluarkan demi menjaga maruah Islam dan juga nama baik negara yang pernah diiktiraf sebagai negara Islam. Semoga tazkirah ringkas ini memberi manfaat kepada diri, pembaca setia Kalam Abu Musaddad dan juga seluruh umat Islam. Wallahu A’lam.

___________________________________________________________________________

© IBNISMAIL.WORDPRESS.COM (2008 – 2010) Hak cipta terpelihara. Setiap artikel @ penulisan yang tersiar di laman blog ini dihasilkan untuk tujuan perkongsian ilmu dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun mohon kerjasama agar segala bahan sama ada berbentuk artikel, video dan lain-lain yang di ambil daripada laman blog ini diberikan “kredit” dengan meletakkan alamat https://ibnismail.wordpress.com sebagai sokongan anda. Perlu ditegaskan di sini juga, sekiranya  terdapat pertentangan dengan fakta terutamanya al-Quran dan al-Hadith, maka penulisan ini adalah terbatal dan tidak sah dengan sendirinya. Selain itu, pemilik blog Kalam Abu Musaddad tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan atau masalah pada system komputer pelawat semasa @ sesudah melawat laman ini. Mohon ampun dan maaf juga sekiranya terdapat artikel @ penulisan di laman ini yang menyentuh dan tidak disenangi hati para pelawat.

© Abu Musaddad
Tanjung Manis, Sarawak.
Ahad 06:30 pm
23 Mei 2010 / 09 Jamadil Thani 1431
https://ibnismail.wordpress.com

Tinggalkan komen