Beradab Apabila Bertanya

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Semasa KAM berjalan-jalan untuk pergi ke salah sebuah pasar raya di Sarikei pada minggu lepas, KAM disapa oleh tiga orang remaja yang berumur dalam lingkungan 20-an. Mereka menepuk bahu KAM dari arah belakang. Terkejut juga apabila melihat tiga orang remaja dibelakang, cara mereka menegur ala-ala samseng, ingat mereka hendak merampok, tetapi rupa-rupanya mereka bertiga ingin bertanya sesuatu.

Salah seorang daripada remaja tersebut bertanya kepada KAM, “Bang…Abang nak pergi mana…Kami nak tanya ni…Kat mana ekk BSN (Bank Simpanan Nasional) yang baru? Tadi kami pergi tempat lama tu, tapi sana dah tutup…”

“Emm…Saya nak pergi pasar raya tu…BSN???? Oooo tempat lama tu dah tutup ke…Saya tak pasti la kat mana dik, tapi kawan saya cakap kalau tak silap bank tu kat shell minyak sebelah sana…Cubalah adik pergi sana…” jawab KAM.

“Cissss…Tak pasti…Tak pasti….Kalau tak tahu, cakap tak tahu…Habis cerita….Oklah kami belah dulu ok….” kata salah seorang remaja tersebut dengan perasaan marah.

“Amboi budak ni…Dah la tegur orang tak bagi salam, tak berterima kasih pulak tu…tak beradab langsung….” bisik dalam hati KAM.

Oklah apa yang KAM nak berkongsi dengan para pembaca budiman sekalian, apabila ingin bertanya sesuatu kepada seseorang tanyalah dengan beradab dan menggunakan bahasa yang sopan.

Islam telah mengajar kita adab-adab apabila hendak bertanya sesuatu sama ada bertanya kepada ibu bapa, bos, guru, rakan-rakan, jiran anda dan sesiapa sahaja agar kita menjadi seorang yang beradab dan mempunyai budi pekerti yang baik.

Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan apabila ingin bertanya sesuatu kepada seseorang. Antara adab-adab bertanya secara ringkas adalah seperti berikut :

  • Memberi salam sebelum bertanya
  • Apabila bertanya, gunakanlah bahasa-bahasa yang baik dan sopan
  • Bertanyalah dengan ikhlas
  • Mengucapkan terima kasih
  • Meminta izin sebelum bertanya
  • Bertanya perkara yang munasabah
  • Pertanyaan itu tidak menyinggung perasaan orang lain

Sebenarnya sikap suka bertanya adalah sangat penting dalam diri seseorang. Jika anda seorang pelajar, sikap suka bertanya mesti ada dalam diri kerana ia memberi banyak faedah. Antaranya ialah :

  • Tidak sesat jalan
  • Berakhlak mulia dan terpuji
  • Dapat menyelesaikan masalah
  • Tercapai hajat
  • Ramai kawan dan kenalan
  • Disukai dan dihormati

Justeru itu, kita sebagai umat Islam hendaklah mengamalkan adab-adab yang telah dianjurkan oleh Islam agar kita bisa menjadi seorang muslim atau muslimah yang mempunyai nilai akhlak dan budi pekerti yang tinggi. Selain itu juga, dengan mengamalkan adab-adab dalam kehidupan seharian, kita akan disayangi Allah SWT dan mendapat keredhaannya. Semoga kita sama-sama mengamalkannya. Wallahu A’lam.

Tanjung Manis, Sarawak
Selasa
02 Mac 2010 / 16 Rabiul Awal 1431
https://ibnismail.wordpress.com

Tinggalkan komen