Kewajipan Mengeluarkan Zakat Fitrah

Bismillahirrahmanirrahim…

Salam semua pembaca Kalam Abu Musaddad, kita telah berada di minggu yang kedua daripada bulan ramadhan tahun ini, dan dua minggu lagi kita akan menyambut hari kemenangan iaitu Hari Raya Aidilfitri setelah menunaikan kewajipan berpuasa ramadhan selama satu bulan.

Maka kita sebagai kaum muslimin dan muslimah yang mampu, diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya sendiri dan bagi orang-orang yang menjadi tanggungannya.

Zakat ialah merupakan proses pembersihan diri dan satu cara untuk mendatangkan keberkatan kepada harta benda. Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat : 103 yang bermaksud :

” Ambillah (sebagai) zakat dari sebahagian harta mereka (kerana) dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka.”

Kemudian Sabda Rasulullah SAW pula :

” Zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia, dan dari perkataan buruk dan sebagai pemberian makanan kepada orang miskin. Maka barangsiapa mengeluarkan sebelum solat aidilfitri (sembahyang hari raya puasa) maka ia adalah zakat yang makbul (diterima) dan barangsiapa yang mengeluarkan sesudah solat aidilfitri, maka ia merupakan sedekah seperti sedekah-sedekah yang lain.”

Puasa ramadhan seseorang itu akan tergantung antara langit dan bumi melainkan setelah menunaikan kewajipan zakat fitrah. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW :

” Puasa bulan ramadhan itu tergantung antara langit dan bumi dan tidak dapat diangkat melainkan dengan mengeluarkan zakat fitrah.”

Sesungguhnya zakat fitrah itu ada mempunyai sepuluh keistimewaannya. Antaranya ialah :

  1. Membersihkan diri daripada dosa-dosa
  2. Menyelamatkan diri daripada neraka dan siksaannya.
  3. Menjadikan puasa ramadhan itu diterima (makbul)
  4. Melayakkan diri untuk mendapat nikmat syurga.
  5. Keluar daripada kubur di dalam keadaan aman.
  6. Segala kebajikan ditahun itu diterima.
  7. Layak untuk mendapat syafaat Rasulullah SAW di hari kiamat.
  8. Dapat melalui ” Siratul Mustaqin ” seperti kilat.
  9. Diberatkan timbangan kebajikan dihari pembalasan nanti.
  10. Diselamatkan oleh Allah SWT namanya (pengeluar zakat fitrah) daripada senarai nama orang-orang yang mendapat kecelakaan.

Selain itu, perintah zakat fitrah itu mengandungi nilai-nilai hikmah kemanusiaan dan kemasyarakatan yang tinggi, antaranya ialah :

  1. Mengagihkan nikmat kesenangan, kemakmuran dan kekayaan itu kepada mereka yang kurang bernasib baik.
  2. Menanam perasaan bertanggungjawab, tolong-menolong dan bantu-membantu.
  3. Mengeratkan silatulrahim di antara mereka yang berada dengan mereka yang kurang bernasib baik.
  4. Mempamerkan konsep persaudaraan Islam yang sebenar.
  5. Menghilangkan jurang pemisah antara golongan yang berada dengan golongan yang kurang berada.
  6. Membuka jalan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan tidak berada untuk bersama-sama meraikan hari raya aidilfitri.
  7. Membuktikan kesyukuran seseorang itu kepada Allah SWT dan lain-lain lagi.

Justeru itu, zakat fitrah adalah satu kefarduan dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Ianya adalah salah satu daripada rukun Islam dan menjadi tanggungjawab tiap-tiap muslim menunaikannya dengan tidak mengharapkan apa-apa pembalasan dari yang menerima.

Adakah anda sudah menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah pada tahun ini ?

______________________________________________

© IBNISMAIL.WORDPRESS.COM (2008 – 2010) Hak cipta terpelihara. Setiap artikel @ penulisan yang tersiar di laman blog ini dihasilkan untuk tujuan perkongsian ilmu dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun mohon kerjasama agar segala bahan sama ada berbentuk artikel, video dan lain-lain yang di ambil daripada laman blog ini diberikan “kredit” dengan meletakkan alamat https://ibnismail.wordpress.com sebagai sokongan anda. Perlu ditegaskan di sini juga, sekiranya terdapat pertentangan dengan fakta terutamanya al-Quran dan al-Hadith, maka penulisan ini adalah terbatal dan tidak sah dengan sendirinya. Selain itu, pemilik blog Kalam Abu Musaddad tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan atau masalah pada system komputer pelawat semasa @ sesudah melawat laman ini. Mohon ampun dan maaf juga sekiranya terdapat artikel @ penulisan di laman ini yang menyentuh dan tidak disenangi hati para pelawat.

Kalam Abu Musaddad / 11 September 2008
https://ibnismail.wordpress.com

1 Responses to Kewajipan Mengeluarkan Zakat Fitrah

  1. Syahmi Zaki berkata:

    owh…penerangan yang agak memuaskan…saya rasa blog ini perlu dihias supaya lebih menarik…dan orang ramai akan lebih tertarik untuk membaca…sekian..tq.

    Like

Tinggalkan komen