Struktur Al-Aqsa Terjejas

Foto dipetik : Kosmo!

BAITULMAQDIS – Pihak berkuasa Israel didakwa menjejaskan struktur asas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dengan membuka satu terowong besar di bawah bangunan berkenaan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Terowong itu digelar oleh media sebagai lokasi pelancongan sudah pun menyebabkan retakan di struktur kawasan pejalan kaki Haram al-Sharif.

Kawasan Haram al-Sharif itu menempatkan sejumlah lokasi bersejarah seperti kubah emas di pekarangan Masjid Al-Aqsa.

“Tanpa sebarang keraguan di dalam pemikiran saya bahawa kerajaan Israel mempunyai hasrat dan keinginan untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa.

“Mereka (pihak kerajaan Israel) mahu melakukan (memusnahkan Masjid Al-Aqsa) dengan cara untuk menjadikan kemusnahan itu adalah akibat faktor alam semula jadi,” kata Ketua Majlis Tertinggi Muslim yang memantau kawasan suci di Baitulmaqdis, Sheikh Muhammad Hussein.

Menurutnya, semua aktiviti yang dilakukan oleh pihak Israel di kawasan sekitar Masjid Al-Aqsa adalah menunjukkan ia mahu memusnahkan kawasan suci umat Islam itu.

“Kini tiba masanya bagi umat Islam, kerajaan Islam dan pertubuhan Muslim di seluruh dunia untuk menghentikannya,” katanya.

Beberapa pegawai Palestin dan pertubuhan penganut agama Islam termasuk Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah mengeluarkan banyak amaran terhadap kerja-kerja penggalian di pekarangan serta bawah tanah Masjid Al-Aqsa.

Pada bulan lalu, Jordan meminta Israel menghentikan melakukan sabotaj terhadap struktur Masjid Al-Aqsa dengan memberi amaran bahawa isu sensitif itu mampu mencetuskan seluruh rantau tersebut berperang. – Agensi.

Apa pandangan anda terhadap isu ini ?

Sumber Berita : Kosmo! Online

Tinggalkan komen