Bajet 2009 : Pembelaan Nasib Rakyat…

Bismilahirrahmanirahim…

Pembelaan rakyat – itu yang paling banyak diperkatakan oleh kebanyakan pakar ekonomi ketika diminta mengulas mengenai harapan mereka terhadap Bajet 2009.

Ia mencerminkan isi hati rakyat keseluruhannya supaya Bajet 2009 bukan saja tidak membebankan rakyat, malah menekankan kepada pemulihan ekonomi, sosial dan masyarakat serta kestabilan politik negara dan perhubungan antarabangsa.

Setiap golongan masyarakat mengharapkan mereka akan diberikan perhatian sepenuhnya dalam Bajet 2009 dan paling penting membantu meringankan beban kos tinggi ditanggung sekarang akibat kenaikan harga barang.

Paling penting, Bajet 2009 diharap memberi tumpuan ke atas harga barang hingga menyebabkan kuasa beli pengguna terjejas.

Hakikatnya, kenaikan harga barang bukan saja dihadapi rakyat, malah syarikat korporat tidak terkecuali hingga menyebabkan kos pengeluaran atau operasi mereka bertambah.

Mengulas pembentangan Bajet 2009, Ketua Ahli Ekonomi Aseambankers Malaysia Bhd, Suhaimi Illias berkata usaha mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana dijangka menjadi sasaran utama kerajaan dalam Bajet 2009.

Menurutnya, duti import, cukai jualan dan duti eksais barangan tertentu perlu dikaji semula dalam usaha membendung kenaikan harga barang pengguna, kos perniagaan dan pengangkutan.

“Langkah itu bukan saja dapat mengehadkan kenaikan harga barangan, ia juga mengurangkan kos perniagaan dan menggalakkan pelaburan,” katanya.

Antara barangan dicadangkan supaya diturunkan cukai, termasuk makanan seperti sayuran, rempah, daging dan majerin serta bahan mentah untuk sektor pertanian seperti baja dan biji benih.

Beliau menyarankan kerajaan memberi pelepasan cukai kepada syarikat pengangkutan yang membawa bahan mentah dan barang makanan supaya kosnya dapat diminimumkan.

Dari segi perkhidmatan pula, Bajet 2009 diharap memberi lebih tumpuan ke arah usaha meningkatkan sektor perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

Kesimpulannya, kerajaan perlu mengkaji pelan jangka sederhana dan panjang dalam Bajet 2009 bagi memastikan kemampanan dan kemakmuran ekonomi terpelihara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi Malaysia, Datuk Iskandar Mizal Mahmood, berkata tahap persaingan dan pembangunan modal insan juga perlu dipertingkatkan dalam usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, keseimbangan dalam elemen ekonomi dan kebajikan perlu diwujudkan bagi mengekalkan kemakmuran negara yang dijangka menyumbang secara positif kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.

“Justeru, Bajet 2009 dijangka menyaksikan usaha kerajaan untuk terus memberi tumpuan terhadap elemen berikut bagi meningkatkan daya saing negara, memperkukuhkan pembangunan modal insan dan kebajikan sosial rakyat,” katanya.

Iskandar berkata, langkah jangka pendek mungkin tertumpu pada kebajikan sosial rakyat terutama bagi mengurangkan beban berikutan peningkatan kos hidup akibat inflasi.

Bagi sektor hartanah yang menjadi antara petunjuk kemakmuran ekonomi negara, Pengarah Urusan Uda Holdings Bhd, Datuk Jaafar Abu Hassan, berkata harapan Uda Holdings yang banyak terbabit dalam pemilikan dan pembangunan hartanah di bandar ialah kerajaan dapat berbuat sesuatu untuk terus melonjakkan permintaan terhadap hartanah kediaman dan komersial.

“Demi kebaikan pembeli rumah, mungkin kerajaan boleh berbuat sesuatu sama ada dengan melonggarkan polisi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan mereka membeli atau menambah satu lagi rumah.

“Paling baik, jika pencarum KWSP dapat mengeluarkan wang dengan lebih kerap lagi untuk membayar balik baki pinjaman supaya lebih cepat habis atau membantu mereka mengurangkan bayaran bulanan yang terpaksa ditanggung ketika ini untuk tempoh yang panjang.

“Insentif bagi pemaju atau pemilik hartanah pula, bajet kali ini diharap dapat memperbaiki keadaan harga bahan mentah seperti simen supaya dapat dikawal bagi membolehkan pemaju seperti kami mengurangkan kos yang meningkat,” katanya.

Sektor pembinaan yang menjadi antara nadi utama kepada pembangunan negara juga perlu diberi insentif lain termasuk cadangan supaya kerajaan menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel sebagai pengangkutan berikutan kenderaan menggunakan diesel paling banyak digunakan dalam sektor pembinaan.

Langkah itu bukan saja berkesan mengurangkan pencemaran udara akibat penggunaan diesel yang kurang baik daripada petrol, malah membantu syarikat pembinaan untuk mengurangkan kos operasi mereka daripada segi pengangkutan bahan mentah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata cukai jalan untuk kenderaan berenjin diesel (kini) adalah lebih tinggi berbanding kenderaan yang menggunakan petrol.

“Walaupun kerajaan memberi subsidi diesel kepada pemilik kenderaan, tetapi ia masih tidak cukup memandangkan kebanyakan mesin di tapak pembinaan dan kenderaan pengangkutan juga menggunakan diesel,” katanya.

Sementara itu, pengedar kereta tempatan dan import pula berharap kerajaan dapat meminimumkan duti import ke atas kereta hibrid dan memberi insentif lain untuk membantu meningkatkan penggunaan kenderaan yang jimat minyak itu.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata: “Industri automotif meminta rebat 50 peratus ke atas cukai import, cukai eksais dan pengecualian cukai jalan ke atas kenderaan hibrid supaya industri automotif dapat berkembang.

“Walaupun menjadi pasaran kereta penumpang terbesar di rantau ini, Malaysia masih gagal menarik syarikat besar untuk mengeluarkan kenderaan hibrid kerana kurangnya pemangkin yang dapat membantunya berkembang,” katanya.

Apa komen anda ?

Sumber Berita : Harian Metro / Ditulis Oleh : Hatipah Ahmad

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: