Kenaikan gred perkhidmatan insentif memantapkan mutu pendidikan

BEBERAPA insentif untuk warga pendidik sempena sambutan Hari Guru Jumaat lalu, diharap mampu memantapkan lagi profesion perguruan yang dilihat amat penting bagi membina modal insan negara. Kakitangan awam, termasuk guru menerima pelbagai galakan terutama lanjutan tempoh tahun persaraan yang diumumkan baru-baru ini.

Ia memperlihatkan kerajaan begitu serius dalam memastikan kebajikan kumpulan tenaga kerja terbesar di negara ini terus terjamin. Kini tiada alasan lagi bagi kakitangan awam untuk memberi perhatian khusus bagi meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat. Guru pula, khususnya, perlu meningkatkan usaha dalam memberi sumbangan yang bermakna kepada kemajuan pendidikan negara. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika melancarkan sambutan Hari Guru di Melaka itu, kerajaan mengambil kira pengalaman mengajar guru ketika dalam skim bukan siswazah DGA29 untuk pertimbangan kenaikan gred secara ‘time based’ selepas berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 ke DG44. Sejumlah 20,000 guru layak untuk kenaikan pangkat.

Kalau sebelum ini, guru beranggapan pengalaman mereka tidak diambil kira kerajaan, kini boleh menarik nafas lega kerana apa yang diperjuangkan sudah tercapai. Kita berharap, kumpulan guru terbabit dan yang berkaitan, dapat memanfaatkan sepenuhnya, insentif yang diberikan dengan menterjemahkannya melalui tindakan untuk memantapkan tahap pendidikan negara. Selain itu, kerajaan turut meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal daripada skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar, dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar gred DG41. Kerajaan juga memperuntukkan 10 peratus daripada kuota sedia ada untuk diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dengan syarat mereka cemerlang. Begitu juga gred pegawai pelajaran daerah (PPD) dinaikkan dari DG48 ke gred DG52 dan DG54, di samping menyeragamkan struktur pejabat berkenaan di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan bagi Sabah dan Sarawak.

Dalam sibuk memberi insentif, Kementerian Pelajaran mungkin terlepas pandang terhadap masalah dihadapi kumpulan guru lepasan maktab yang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah pada 1980-an dan 1990-an yang terpaksa menunggu lama untuk menerima kenaikan pangkat. Jumlah kumpulan ini mencecah hampir 80,000, yang berasa mereka terpinggir selepas terpaksa menunggu masa terlalu lama untuk kenaikan pangkat dari DG41 ke DG44. Begitu juga masalah Guru Penolong Kanan Gred DGA32, yang berasa tersisih daripada menerima kenaikan gaji dan pangkat perlu diberi perhatian serius. Masalah ini, jika tidak ditangani segera boleh menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan pendidik dan menjejaskan pengurusan di sekolah.

Bagaimanapun kita tidak mahu kakitangan awam, termasuk guru hanya dilihat sibuk memperjuangkan hak gaji masing-masing, tanpa mempamerkan kegigihan untuk memartabatkan perkhidmatan atau pendidikan negara. Kecenderungan seumpama itu boleh menjejaskan imej kakitangan awam di kalangan rakyat, yang semakin dihimpit pelbagai masalah sekarang. Kalau sebelum ini rakyat tidak memberi perhatian serius kepada semua tuntutan yang diperkenankan kerajaan, pemikiran mereka semakin berubah. Kita berharap, guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya masing-masing bagi memenuhi matlamat kerajaan memperkasakan mutu pendidikan negara.

Sumber : Berita Harian

About Abu Musaddad

"Setiap setangga ilmu ku tingkat...Insaflah aku jahilnya diri...Keinginan panjang, kehidupan singkat. Tapi....Aku tak bosan, dalam mencari..."

Posted on 19 Mei 2008, in ARTIKEL, BICARA INSAN GURU, Isu Semasa, PENDIDIKAN, Perkhidmatan. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: