Tiada lagi anugerah sekolah pada Hari Guru

Penghargaan menyeluruh disampaikan pada majlis berasingan

PENYAMPAIAN Anugerah Sekolah Harapan Negara pada majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan akan dihentikan mulai tahun ini, selaras inisiatif Kementerian Pelajaran memperkenalkan Anugerah Sekolah Cemerlang sebagai pengiktirafan lebih menyeluruh sejak tahun lalu.

Urus Setia Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2008 berkata, langkah itu antara lain bertujuan mengelakkan pertindihan antara kedua-dua anugerah berkenaan.

“Ini bermakna penghargaan terhadap sekolah kini dilakukan menerusi penyampaian Anugerah Sekolah Cemerlang yang diadakan pada majlis tersendiri dan bukan lagi sempena perayaan Hari Guru,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.
Sebelum ini, Anugerah Sekolah Harapan Negara diadakan pada majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan setiap tahun, meliputi kategori Sekolah Menengah (SM) Bandar, SM Luar Bandar, SM Teknik, Sekolah Pedalaman, Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Rendah (SR) Bandar dan SR Luar Bandar.

Bagaimanapun mulai November tahun lalu, kementerian memperkenalkan Anugerah Sekolah Cemerlang untuk mengiktiraf dan menghargai usaha warga sekolah yang berjaya meletakkan sekolah mereka ke satu tahap kualiti tinggi secara menyeluruh.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, penganugerahan baru itu dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu Sekolah Cemerlang membabitkan 14 kategori dan Sekolah Lonjakan Saujana (Quantum Leap) yang merangkumi tujuh kategori.

Malah untuk pertama kali, semua kakitangan sekolah yang memenangi anugerah berkenaan akan menerima hadiah wang tunai yang sama rata, bukan terhad kepada pihak pengurusan saja. Imbuhan lain termasuk lawatan di dalam dan luar negara serta projek sekolah, terutama pembangunan.

Seterusnya, urus setia itu berkata, kira-kira 600 guru, pelatih institut pendidikan guru (IPG) dan pelajar dari sekolah sekitar Bandaraya Bersejarah akan menjayakan persembahan pada majlis pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, 16 Mei ini.

Pada majlis itu yang bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata, tiga Tokoh Guru Kebangsaan 2008 dan seorang Tokoh Kepemimpinan 2008 akan diarak ke pentas dengan iringan persembahan nazam.

Selain itu, katanya, syair serta deklamasi sajak bertajuk Guru Oh Guru akan disampaikan Thazali Mohd Ela yang pernah muncul johan pertandingan deklamasi sajak peringkat kebangsaan, bersama Jamilah Ishak dan Zauawi Che Cob, mengiringi persembahan pentomin mengenai perjuangan guru.

“Bagaimanapun, tiada pameran diadakan pada majlis perayaan tahun ini berikutan kekangan ruang. Tambahan pula, pameran secara besar-besaran sudah diadakan ketika Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2007 di Johor dan 2006 di Kuala Lumpur sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50.

“Namun, difahamkan ada pertubuhan guru yang menganjurkan pameran atas inisiatif sendiri di hotel penginapan mereka sempena majlis perayaan di Melaka kali ini,” katanya.

Sumber : Syuhada Choo Abdullah (Berita Harian)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: