Sumbangan kaum Hawa kepada tamadun dunia

SYAIR Arab ada menyebut; ‘Punca keruhnya air kerana buruk tanahnya. Punca keburukan kaum kerana buruk pernikahannya’.

Dalam pepatah Melayu sering terungkap ‘tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia’. Sebabnya, Rasulullah SAW apabila ditanya oleh sahabat mengenai siapa yang mesti diutamakan dahulu, Baginda bersabda: “Ibu mu…” sebanyak tiga kali kemudian baru disebutkan “ayah mu.”

Itu antara gambaran mengenai kedudukan dan ketinggian martabat wanita dalam Islam. Malah kehebatan dan mulianya wanita di sisi Islam turut dicatat sebagai salah satu nama surah dalam al-Quran iaitu surah al-Nisaa’ yang membicara secara khusus mengenai wanita.

Menyedari ketinggian martabat wanita dalam Islam, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) tampil melancarkan pameran Iman dan Kuasa Wanita Dalam Islam bermula 3 April lalu. Pameran itu dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Bertempat di galeri khas Pavilion Kubah Terbalik MKIM, pelbagai cerita, kisah dan sejarah suka duka, susah senang serta tinggalan peralatan wanita dalam kehidupan dunia bermula daripada ibu kepada sekalian manusia, Hawa (Siti Hawa) sehingga kepada tokoh tempatan terdekat mutakhir ini, Datuk Seri Rafidah Aziz ada dipamerkan untuk diselusuri pengunjung mengenai latar belakang, pengorbanan dan kejayaan mereka.

Pameran selama tiga bulan yang berakhir pada 4 Julai depan itu antara usaha MKIM membantu mengembalikan pengiktirafan mertabat wanita pada kedudukan yang menjadi haknya dalam Islam, kepada masyarakat di negara ini.

Kita mungkin kurang jelas mengenai sejarah raja perempuan terawal yang memerintah Negeri Sabak, iaitu Ratu Balqis di zaman Nabi Sulaiman a.s. yang dicatat dalam al-Quran jika tidak dikaji dan dicari dalam kitab-kitab tafsir.

Tetapi dengan berkunjung ke pameran ini, anda dapat mengetahuinya dengan mudah dan yang penting fakta-fakta yang sahih.

Malah segala jenis kisah dan sejarah wanita sama ada yang disebut dalam al-Quran, Taurat dan Injil atau yang ada dalam catatan manusia boleh dibaca serta dilihat untuk diketahui.

Ini kerana pameran Iman dan Kuasa Wanita Dalam Islam yang pertama kali diadakan oleh MKIM ini memaparkan hampir semua kisah, cerita dan sejarah wanita-wanita Islam yang hidup di dunia dengan jelas dan mudah.

Malah pengunjung turut berpeluang melihat sendiri bentuk sutera, buaian, hasil ukiran, pakaian persalinan wanita silam termasuk alatan tinggalan Saidatina Siti Khadijah Binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW dan puteri-puteri Baginda, Zainab, Rugaiyah, Ummi Kaltsum dan Siti Fatimah Az-Zaharaa’.

Tidak ketinggalan juga cerita mengenai nama-nama wanita Islam yang berkuasa dan beriman serta mempunyai pengaruh besar di zaman jahiliah seperti Hindun (disebut dalam al-Quran) mahupun semasa pemerintahan Khalifah al-Rasyidin dalam pelbagai bidang dan lapangan.

Bermula dalam urusan rumah tangga dan ekonomi seperti Saidatina Siti Khadijah yang berjaya dalam perniagaan, pengurusan rumah tangga dan kegiatan sosial sehingga kepada kemunculan tokoh politik seperti Khalidah Zhia di Bangladesh dan Benazir Bhutto yang mati dibunuh menjelang pilihan raya Pakistan baru lalu turut dipaparkan.

Kehebatan puteri Abu Bakar As-Siddiq yang rupawan dan pintar, Siti Aisyah r.a., iaitu isteri termuda Rasulullah SAW juga boleh anda selami kisah dan sejarah kehidupannya di sini.

Berkunjung ke pameran itu juga anda akan ketahui sejarah kisah Siti Hawa, ibu kepada sekelian manusia di bumi, Siti Hajar (ibu bangsa Arab), Yukabid (ibu Nabi Musa a.s.), Siti Mariam (perawan yang menjadi ibu kepada Nabi Isa a.s.) dan Siti Aminah Binti Wahb (ibu Rasulullah SAW) yang kesemuanya ada disebut dalam al-Quran.

Malah MKIM melalui pameran itu turut menyelusuri kehidupan wanita-wanita sehebat ini dan pandangan terhadap mereka dari sudut dimensi fizikal dengan pelbagai artifak yang berlainan masa dan tempat dipaparkan.

Paparan Shajarat al-Durr misalnya menceritakan bagaimana dari seorang hamba kepada khalifah Abbasiah diangkat menjadi Sultan sekitar tahun 646 Hijrah (1249 Masihi).

Namun sejarah hidup ahli sufi wanita terunggul, Rabiah Al-Adawiyah (712 Masihi atau 93 Hijrah) yang menolak semua lamaran lelaki demi untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT paling menyentuh naluri.

Nama agung lain seperti Ratu Amina sebagai pahlawan terbilang wanita yang mengetuai angkatan tentera berkuda Zazzau sebelum dilantik menjadi Ratu Zazzau menggantikan ayahandanya ketika berusia 24 tahun pada tahun 1576 (983 Hijrah) harus diteladani generasi muda masa kini.

Begitu juga dengan Puteri Subuh yang menjadi isteri Khalifah Cordoba tetapi akhirnya menjadi pemangku pemerintahan kerajaan bersama suaminya.

Atau elok kita menyelak semula kisah tokoh wanita Melayu, Cik Siti Wan Kembang iaitu puteri kepada pasangan Raja Ahmad dan Bainun dari keturunan Raja Melaka yang memerintah selama 67 tahun.

Tidak ketinggalan kisah Tjoet Njak Dien (1848) yang dengan perkasa melawan dan mengusir Belanda untuk menawan serta memerintah sendiri Bandar Aceh sehingga diistiharkan sebagai Srikandi Negara oleh Sukarno.

Dalam episod kisah cinta pula kita dipaparkan dengan wanita bernama Mumtaz Mahal (1593) yang memiliki cinta yang tulus terhadap Putera Khurram sehingga terbina Taj Mahal sebagai simbol cinta sejati putera raja itu terhadapnya.

Di India, anda akan tahu mengenai sejarah Sultan Jahar Begum Bhopal (1901-1921) sebagai Sultan wanita pertama di negara berkenaan, serta bermacam kisah dan sejarah lagi untuk diketahui.

Jadi jangan lepaskan pelung untuk berkunjung ke MKIM bersama anak-anak, ahli keluarga dan rakan taulan bagi menambah keilmuan mengenai wanita dalam Islam secara tepat dan sahih.

Banyak manfaatnya jika berkunjung ke pameran berkenaan bersama anak-anak, kerana selain menambah ilmu dan menyegarkan minda serta semangat, anda turut berpeluang mengenengahkan bakat anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang tersedia sepanjang pameran berlangsung.

Jom! kunjungilah galeri khas di tingkat satu Pavilion Kubah Terbalik MKIM yang terletak di belakang Masjid Negara bagi mengenali siapa sebenarnya tokoh-tokoh wanita dalam Islam.

Ia dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang. Jika penat berjalan menelaah catatan sejarah mengenai kisah-kisah hidup di samping melihat sendiri tinggalan barangan serta peralatan yang dipamerkan, anda berehat dan menjamu selera sambil bersantai di restoran atau berbelanja di kedai yang sedia menanti dengan pelbagai hasil Islamik di situ.

Sesungguhnya wanita, dalam tangannya ada penawar dan racun untuk kehidupan dunia dan di bawah telapak kakinya tersedia syurga serta neraka untuk kehidupan yang kekal di akhirat.

Sumber : W. RAHIMAH DRAMAN (Utusan Malaysia Online)

About Abu Musaddad

"Setiap setangga ilmu ku tingkat...Insaflah aku jahilnya diri...Keinginan panjang, kehidupan singkat. Tapi....Aku tak bosan, dalam mencari..."

Posted on 15 Mei 2008, in ARTIKEL, Bicara Agama, Isu Semasa, Keluarga dan Masyarakat, Wanita Hari Ini. Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. satu penulisan yang cukup menarik dan mampu menarik ummat islam kearah kesedaran dan merenung semula kejadian alam. kembali kepada syiar islam dan menjulang dan mengembalikan kegemilangan islam di mata dunia. Insya Allah…

  2. Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog ini..InsyaAllah Islam akan Bersinar kembali suatu hari nanti..TAKBIR!!! ALLAHU AKBAR!!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: