Amukan Nargis

Taufan dikategori bencana amat dasyat yang boleh menyebabkan kemusnahan dan membunuh beribu-ribu nyawa

NAMANYA diambil daripada aktres Hindustan yang amat popular pada tahun 1940-an dan 1950-an, namun amukan taufan Nargis minggu lalu menyebabkan lebih 22,500 rakyat Myanmar terkorban manakala lebih 41,000 lagi hilang.

Pasukan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan melihat mayat terapung di merata tempat. Bencana amat besar dan dahsyat itu juga mengakibatkan keseluruhan kawasan rendah di delta Irrawaddy kini tenggelam sepenuhnya.

Kawasan yang terjejas teruk hanya dapat dihubungi dengan menaiki bot, manakala helikopter gagal menggugurkan bekalan bantuan.

Sekurang-kurangnya sejuta penduduk hilang tempat tinggal dan sebahagian besar perkampungan rosak teruk.

Jumlah kematian dan kerosakan harta benda dijangka jauh lebih besar daripada yang dinyatakan pemerintah Myanmar.

Bahana badai mengganas

TAUFAN yang melanda bukan saja mengorbankan beribu-ribu nyawa malah harta benda berbilion ringgit. Minggu lalu, Taufan Nargis meragut lebih 22,500 nyawa manakala lebih 41,000 orang masih lagi hilang di Myanmar.

Namun apa bezanya taufan Nargis dengan taufan yang berlaku di Amerika, Bangladesh, Filipina dan negara lain. Apa pula beza taufan, ribut, angin kencang dan puting beliung?

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat 2005, taufan bermaksud angin ribut dan badai manakala pakar meteorologi tempatan menyatakan taufan adalah bencana alam yang amat dahsyat dan membinasakan manakala laluannya jauh dan hayatnya panjang menjadikan kehadirannya amat mengerikan.

Kebiasaannya, taufan dikenali sebagai Hurricane di kawasan Utara, Carribean dan Teluk Mexico, manakala panggilan typhoon biasanya digunakan untuk bahagian Barat Pasifik seperti Jepun, China dan Filipina.

Siklon tropikal pula merujuk kawasan di Lautan Hindi yang melanda negara seperti India, Bangladesh dan Indonesia.

Mengikut istilah meteorologi, taufan ditakrifkan sebagai enjin haba atau satu sistem tekanan rendah, selalunya terbentuk di kawasan tropika yang akan mengganas apabila sampai ke pantai sehingga mampu membunuh beribu-ribu nyawa dan menyebabkan kemusnahan berbilion ringgit.

Bagaimanapun, sebelum taufan ini mampu membawa bencana besar, ia hanyalah ribut tropika dengan kelajuan angin antara 64 kilometer sejam (km/j) dan 118 km/j. Ribut itu digelar Taufan apabila kelajuan angin itu meningkat melebihi 118 km/j.

Taufan mampu menghasilkan haba 200 kali ganda kadar penghasilan elektrik oleh manusia bersamaan dengan ledakan 10 megaton bom nuklear setiap 20 minit.

Ramai yang menyatakan taufan membawa kepada kebinasaan, namun sebenarnya ia penting dalam sistem pusingan atmosfera bagi memindahkan udara panas dari kawasan Khatulistiwa ke berlatitud tinggi.

Malah, taufan ini membantu kawasan kering. Contohnya, jumlah hujan di Jepun, kebanyakannya disumbangkan oleh taufan. Begitu juga di Amerika Syarikat, Taufan Camille, dalam kategori 5 yang melanda Pantai Teluk Mississippi, pada 1969 menukar kawasan kering itu dan menamatkan krisis air di kawasan berkenaan.

Biasanya taufan membawa beberapa elemen lain seperti ribut dan puting beliung. Ribut adalah kubah air yang besar dan mempunyai kelebaran antara 70 hingga 140 kilometer sejam yang melanda pinggir pantai berhampiran tempat taufan bertemu daratan.

Taufan yang kuat dan perairan cetek akan menghasilkan kadar pergerakan lebih tinggi dan mengancam nyawa serta harta benda terutama di kawasan sepanjang pantai.

Selain itu, hujan lebat datang mencurah-curah dan menyeluruh, boleh menyebabkan banjir yang memusnahkan, manakala angin kencang taufan boleh memusnahkan bangunan dan struktur binaan yang tidak kukuh.

Taufan juga boleh menghasilkan puting beliung atau tornado. Kebiasaannya, fenomena puting beliung berlaku di depan sebelah kanan taufan, namun kadangkala kita boleh menjumpai puting beliung ini bersama hujan di tengah-tengah taufan.

Ada sesetengah taufan yang tidak disertai puting beliung langsung. Namun, kajian kaji cuaca menunjukkan kebanyakan taufan memang membawa puting beliung contohnya, taufan Buelah (1967) membawa 141 puting beliung. Kebiasaannya kehadiran taufan bersama puting beliung boleh menyebabkan banyak kerosakan lebih dahsyat.

Selain itu, di Malaysia wujud ribut petir iaitu fenomena biasa yang berlaku sepanjang tahun dan selalunya berlaku pada waktu petang dan awal senja. Secara relatifnya ia bersaiz kecil, namun semua ribut petir adalah merbahaya kerana menghasilkan kilat yang berpotensi untuk membunuh manusia.

Hujan lebat dari ribut petir boleh mendatangkan banjir dan tanah runtuh manakala angin kencang dan hujan batu juga dikaitkan dengan sesetengah ribut petir.

Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) menyatakan ribut petir sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh). Ribut petir biasanya terjadi dalam keadaan atmosfera yang lengas dan tidak stabil.

Awan kumulus terbentuk apabila udara panas berlengas naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan pemeluwapan. Ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai awan kumulonimbus, dengan golakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya.

Awan ribut petir yang matang sering kali mempunyai struktur bersel dengan diameter mencapai tiga ke lima kilometer dan ketinggiannya melebihi 10 kilometer. Ia boleh wujud secara terpencil, berkelompok atau dalam garisan dengan purata tempoh hidup ribut petir ialah antara 15 hingga 30 minit tetapi dalam keadaan tertentu, tempoh ini jauh lebih lama.

Ribut petir berpotensi untuk menghasilkan hujan batu, hujan lebat, kilat sabung menyabung dan angin kencang.

Bagaimana taufan terbentuk? Mengikut laman web Pihak Pentadbir Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), taufan bermula dari laut yang berlaku di kawasan persekitaran laut panas yang mana suhu laut yang mencatat suhu melebihi 26 darjah Celsius dengan kedalaman air mencapai 60 meter, ia akan mula membentuk fenomena taufan itu.

Proses pembentukan itu berlaku apabila adanya pusat tekanan rendah yang mana semakin panas air laut dan semakin rendah tekanan di atmosfera yang menyebabkan angin masuk ke dalam lingkungan yang membentuk putaran.

Ini kerana tekanan rendah dan tekanan tinggi yang memperlihatkan tekanan tinggi akan bergerak ke arah tekanan rendah dan pada masa sama, ia ditambah dengan daya putaran bumi atau dipanggil daya coriolis iaitu satu daya pembiasan bumi.

Info

  • Mata taufan – Dikaitkan sebagai pusat utama sistem taufan. Kawasan mata taufan mempunyai tekanan udara paling rendah dan ia menjadi tumpuan angin kencang di sekelilingnya. Bagaimanapun, kawasan mata taufan biasanya tenang dan bebas daripada awan, menjadikan ia mudah dikesan melalui satelit. Tapi angin sekeliling taufan paling kencang dan awannya juga tebal.
  • Dinding mata – Panggilan untuk jaluran awam paling tebal di sekeliling mata taufan. Di bahagian ini, hujan turun paling lebat serta kekerapan ribut petir juga paling kerap.
  • Jalur hujan – Merujuk kepada barisan awan hujan yang tersusun mengelilingi mata taufan. Jalur hujan membawa hujan yang lebat dan berkemungkinan menghasilkan puting beliung tapi ruang antara jalur hujan boleh menjadi tenang.

    Sumber : Rohaniza Idris dan Siti Nuralmizan Aripin (Berita Harian)

  • About Abu Musaddad

    "Setiap setangga ilmu ku tingkat...Insaflah aku jahilnya diri...Keinginan panjang, kehidupan singkat. Tapi....Aku tak bosan, dalam mencari..."

    Posted on 14 Mei 2008, in ARTIKEL, BICARA GLOBAL, Isu Semasa. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: