Wajarkah UPSR, PMR Dimansuhkan?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pembuka bicara pada hari ini, terlebih dahulu kalam ini ingin mengucapkan “SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH” kepada rakan-rakan seperjuangan di seluruh negara dan semua pelajar terutama pelajar-pelajar SK Tanjung Manis setelah hampir tiga minggu bercuti. Mungkin musim cuti pada kali ini memberi seribu makna kebaikan dalam hidup anda. Alhamdulillah.

Kalam ini tidak berbicara dengan panjang lebar pada petang ini. Cuma ingin berkongsi pendapat dengan semua pihak sama ada anda seorang guru, pelajar, pensyarah, ibu bapa, kakitangan awam dan sebagainya berhubung keratan akhbar yang saya petik dari Berita Harian Online sebentar tadi.

Keratan akhbar tersebut bertajuk : “UPSR, PMR Mungkin Dimansuhkan :Muhyidin”

MUAR: Kementerian Pelajaran membayangkan kemungkinan akan memansuhkan Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau melihat ada kewajaran untuk berbuat demikian kerana aspek pembelajaran ketika ini lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata peperiksaan UPSR dan PMR mungkin akan diteruskan tetapi sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah sahaja dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

“Pihak kementerian tidak akan gopoh dalam membuat keputusan dan sentiasa mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak mengenainya,” katanya.

Muhyiddin berkata, secara peribadi beliau berpendapat hanya perlu ada satu peperiksaan awam sahaja bagi menilai pencapaian pelajar iaitu di peringkat akhir persekolahan atau sebelum memasuki institusi pengajian tinggi kerana di dalam soal kerjaya pun hanya SPM sahaja yang digunakan.

Namun, katanya, UPSR dan PMR diperlukan untuk membuat penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran tertentu.

Beliau berkata, dengan hanya satu sahaja peperiksaan awam, guru dan pelajar boleh menumpukan usaha ke arah menggilap kreativiti, sifat interaktif dan aktiviti ko-kurikulum lain, serta sukan.

Kepada satu soalan, Muhyiddin berkata keadaan di mana jumlah pelajar perempuan cemerlang di dalam pelajaran meningkat bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh dunia.

“Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelajar yang memasuki universiti adalah perempuan dan trend ini berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya. – BERNAMA

Maka timbul persoalan di sini iaitu “adakah wajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan?.”

Pada pandangan saya, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran. Sebaliknya UPSR adalah menjadi medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan lima mata pelajaran penting sahaja.

Sepatutnya murid-murid haruslah menumpukan kepada semua mata pelajaran termasuklah mata pelajaran pendidikan Islam. Tetapi UPSR hanya memberi tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa English, Matematik dan Sains sahaja.

Seperti sedia maklum, kebanyakkan murid-murid sangat lemah dalam mata pelajaran pendidikan Islam terutamanya murid-murid di sekitar pedalaman Sabah dan Sarawak. Jika kita lihat kepada matlamat falsafah pendidikan kebangsaan, adakah untuk menwujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani akan tercapai? Fikir-fikirkanlah..

Dengan demikian, cadangan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimakansuhkan adalah satu cadangan yang baik dan boleh dipertimbangkan. Namun ada baik dan buruknya. Oleh itu, pihak kementerian haruslah membuat kajian dengan teliti sebelum sesuatu keputusan itu dibuat agar tidak merugikan mana-mana pihak.

Menurut pendapat Tuan Valentine Deli dalam forum engkabang.net, beliau berkata, “jika UPSR dan PMR dimansuhkan, peperiksaan serupa boleh dilakukan diperingkat sekolah dengan menggunakan kertas soalan yang disediakan oleh LPM bagi menentukan hala tuju dan siapa yang berkelayakan memasuki SBP (sekolah berasrama penuh). Buat tapisan bagi yang berprestasi tinggi.”

Bagaimana pula dengan pandangan / komentar anda?

Wallahu a’lam.

_______________________________________

© IBNISMAIL.WORDPRESS.COM (2008 – 2010) Hak cipta terpelihara. Setiap artikel @ penulisan yang tersiar di laman blog ini dihasilkan untuk tujuan perkongsian ilmu dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun mohon kerjasama agar segala bahan sama ada berbentuk artikel, video dan lain-lain yang di ambil daripada laman blog ini diberikan “kredit” dengan meletakkan alamat http://ibnismail.wordpress.com sebagai sokongan anda. Perlu ditegaskan di sini juga, sekiranya terdapat pertentangan dengan fakta terutamanya al-Quran dan al-Hadith, maka penulisan ini adalah terbatal dan tidak sah dengan sendirinya. Selain itu, pemilik blog Kalam Abu Musaddad tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku kerosakan atau masalah pada system komputer pelawat semasa @ sesudah melawat laman ini. Mohon ampun dan maaf juga sekiranya terdapat artikel @ penulisan di laman ini yang menyentuh dan tidak disenangi hati para pelawat.

© Abu Musaddad
Tanjung Manis, Sarawak.
Ahad 05.10 pm
20 Jun 2010 / 07 Rajab 1431
http://ibnismail.wordpress.com

About these ads

About Abu Musaddad

"Setiap setangga ilmu ku tingkat...Insaflah aku jahilnya diri...Keinginan panjang, kehidupan singkat. Tapi....Aku tak bosan, dalam mencari..."

Posted on 20 Jun 2010, in Isu Semasa, Keratan Akbar, PENDIDIKAN and tagged , , , , . Bookmark the permalink. 17 Komen.

  1. Siti Fatimah Ahmad

    Assalaamu’alaikum Alwi

    Dengan hormat dan takzimnya, saya berharap sahabat sudi menerima AWARD PERKASA – KAU ADALAH YANG TERBAIK, sempena sambutan HARI BAPA di Malaysia pada 20 Jun 2010. Ia sebagai menghargai persahabatan dalam perkongsian ilmu di ruang maya dan mengenangi jasa para bapa dalam memperjuangkan kehidupan yang harmoni untuk kebahagiaan keluarganya.

    http://websitifatimah.wordpress.com/2010/06/21/20-jun-2010-selamat-hari-bapa-untukmu-malaysia-dan-indonesia/

    Salam mesra dari saya.

    • Waalaikummussalam wbt….Masyaallah…Terima kasih banyak2 ustazah di atas penghargaan yang telah diberikan kpd saya, begitu terharu sekali hati ini…Saya terima award tersebut dengan rasa syukur sangat2…Alhamdulilah.

      Hanya doaku panjatkan semoga ustazah sekeluarga sentiasa dilindungi, diberkati dan dipayungi selalu dengan nikmat dan rahmat Allah SWT…Mudah-mudahan kebahagiaan itu sentiasa menjadi milik keluarga ustazah…Ameen…Wallahu a’lam.

  2. upsr prlu dimansuhkn???
    wah..nnti rilek la student sekolah rendah tuu..tiada semangat untuk belajar coz xda peperiksaan awam..secara x langsung pencapaian akan merosot..murid-murid lemah dalam mata pelajaran pendidikan islam??eh,x kot…paling senag bah tuh.. :)

  3. assalamualaikum..
    bg pendapat sy sbg seorang bakal guru,
    sy sgt2 x stuju upsr & pmr dmnsuhkn.. slpas 11 thn bljar, br nk buat pnilaian sgt x relevan..
    stdnt bljr nnt mcm x da hala tuju.. upsr d mnsuhkn, lpas tu dgnti 1 ujian utk msk SBP ja.. SBP tuk yg pndai2, yg krg pndai mcm mna plak? nk bg ujian pa plak? nnt mkin rmai la pljr bhenti sek awl.. pmr dmnsuhkn? alasn’y PMR 2 hnya penilaian shj.. mmg pmr pnialain tuk mnilai potensi pljr slpas 3 thn bljr di men ren tuk smbung men ats.. nk plih hala tuju yg ssuai ngn cita2 diorang..
    conclusion upsr n pmr xperlu mnsuh, yg PENTING skrg.. btolkn persepsi pljr, guru n masyrkt yg kta bljr bkn hanya utk lulus exam smata2, tp utk masa dpn.. kt sek la tmpt awl tuk tmba ilmu.. upsr n pmr la nk ukur thp pncapain pljr, klemahan n klebihan pljr.. dr situ jga kta blh buat pmbetulan ksilapan & lngkah2 yg ssuai.. dan 1 lg, krjn perlu mmbuat sdikit rombakan kurikulum agr b’sesuain dgn sstem persekolahan zaman skrg, kpntingan dan kperluan ngara..

  4. assalamualaikum….

    ustaz..
    saya adalah pengikut setia blog ini. sejak tahun lepas lagi saya mengikuti perkembangan blog ini. Banyak info2 yg menarik dan bermanfaat di sini….

    • Waalaikummussalam wbt…..
      Ye ker….Alhamdulillah….Terima kasih sudi menjadi sahabat setia Kalam saya. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada diri anda dan sahabat-sahabat yg lain yg berkunjung ke sini…..Wallahu a’lam..

  5. Salam…

    UPSR , PRM xde? hmm… nnt xtahulah bagaimana jadinya.. salam kenal dari sy.. rakan blogger..

  6. Saya rasa perlu dikekalkan UPSR & PMR. Kita perlu ada penilaian di peringkat sekolah. Kita mesti berbalik kepada konsep KBSR. Bila kita buat ala peperiksaan murid-murid akan ada 2 persepsi di kepala mereka. Mereka nak belajar untuk lulus periksa ke atau belaja untuk menguasai ilmu untuk kehidupan yg sejahtera. Kebanyakan kita hendak lulus periksa. Kalau hendak lulus periksa, maknanya konsep kita ialah nak dapat sijil. Ilmu ni mesti dipelajari sehingga ke liang lahad. Selagi kita hidup selagi itu kita menimba ilmu.

  7. Sistem penilaian baru haruslah diwujudkan seperti penilaian dari segi sahsiah, moral, akhlak, komunikasi, kepimpinan dan penglibatan aktif dalam aktiviti luar kelas supaya dapat memupuk modal insan cemerlang.

    Selain itu, seharusnya soalan peperiksaan tidak lagi menggunakan borang OMR di mana pelajar boleh ‘tembak’ je, sebaliknya soalan berbentuk subjektif haruslah diperbanyakkan. Namun begitu, soalan subjektif tersebut perlulah mengasah otak pelajar supaya berfikir (tidak semata-mata menghafal fakta dari buku teks).

    Berikan ruang lingkup yang lebih luas kerana guru untuk mencorakkan masa depan anak-anak kita tanpa terlalu bergantung kepada silibus. Guru tidak seharusnya terlalu ditekan agar menghabiskan silibus dalam tempoh yang singkat. Diharapkan juga agar guru-guru diberi kebebasan dalam mencorak generasi pelajar yang kreatif dan inovatif.

    Akhir sekali, tanamkan pada jiwa anak-anak kita bahawa walaupun tak dapat A, masih ada Plan B. Katakan padanya, kalaupun tak dapat A, sekurang-kurangnya masih ada banyak lain peluang-peluang lain yang belum diterokai kerana setiap manusia tak sama dari segi bakat atau potensi.

  8. Saya rasa sudah tiba masanya, pelajar-pelajar dibenarkan untuk membawa buku rujukan dan ‘toyol’ ke dewan peperiksaan. Di luar negara, perkara ini sudah lama dipraktikkan kerana soalan yang ditanyakan selalunya tidak akan ditemui dalam buku teks. Soalan peperiksaan tersebut sebenarnya telah diolah supaya mampu merangsang otak pelajar untuk berfikir.

  9. KERTAS KERJA RINGKAS : PEMANSUHAN UPSR DAN PMR (DALAM ERTI KATA YANG SEBENAR)

    LATARBELAKANG

    Apabila TPM mengumumkan supaya UPSR dan PMR dimansuhkan, ramai yang melenting seolah-olah kerajaan terlalu zalim kepada rakyatnya khususnya kepada golongan pendidik dan pelajar. Sebenarnya ramai yang salah faham maksud sebenar di sebalik pemansuhan itu.

    Tuan-tuan dan Puan-puan, beri peluang untuk saya jelaskan satu persatu. TPM sebenarnya ingin mencari punca kepada kepincangan atau kelemahan dalam sistem pendidikan negara; dan untuk itu wajar di ‘bedah siasat’ sebelum ia menjadi barah yang merosakkan bangsa kita pada masa akan datang. Janganlah kita mendabik dada seolah-olah sistem pendidikan kita adalah sempurna sehingga tidak ada cacat celanya.

    Kepincangan ini perlu dibaiki atau dimansuhkan dalam tempoh tertentu agar semua pelajar mendapat pendidikan yang saksama, di mana tiada pelajar yang akan dipinggirkan sama ada pelajar cemerlang atau pelajar lemah. Semua orang wajar diberi peluang yang sama kerana fokus kita ialah melahirkan produk yang cemerlang bukan sahaja dari segi intelek, malahan juga dari segi modal insan.

    RASIONAL

    Lihatlah di sekeliling kita, remaja-remaja yang merempit, mengamalkan seks bebas, lari dari rumah, dan pelbagai gejala sosial yang lain. Lihatlah juga kepada pelajar-pelajar yang cemerlang, yang telah diberi biasiswa dan peluang melanjutkan pengajian di luar negara. Berapa ramai yang tahu mengenang budi atau ‘sudi’ untuk menyumbangkan tenaga kepada negara selepas menamatkan pengajian ? Kenapa ramai wanita di universiti dan sektor perkhidmatan awam ? Bagaimana pula dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat di kalangan graduan ?

    Semua ini berkait rapat dengan sistem pendidikan negara, kerana mereka ‘dihasilkan’ dari sistem yang sama. Terdapat banyak kepincangan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara. Input-input dari masyarat diperlukan agar kepincangan ini segera ‘dibuang’ sebelum negara menjadi hancur.

    Namun, pemansuhan ini sebenarnya dijalankan secara beransur-ansur, berperingkat-peringkat agar pelajar dan guru tidak terkejut dan boleh menyesuaikan diri dengan sistem baru kelak. Apakah komponen atau item yang akan dimansuhkan ? Saya akan perincikan dengan lebih lanjut berikutnya.

    PEMANSUHAN DALAM ERTI KATA YANG SEBENAR

    [1] Pemansuhan soalan objektif / OMR

    Di sini berlaku ketidakadilan kerana bagi pelajar yang mempunyai daya ingatan yang tingg, biasanyai tiada masalah untuk menjawab soalan-soalan berbentuk objektif. Oleh itu, seringkali kedengaran, ramai pelajar lebih suka ‘study last minute’ sebab dalam tempoh 24 jam sebelum peperiksaan, otak biasanya mampu menyimpan maklumat sebagai ‘ingatan sementara’. Sebaik sahaja, selepas peperiksaan, ingatan tersebut biasanya akan terus terpadam.

    [2] Pemansuhan soalan yang berkaitan dengan hafalan atau ingatan

    Pelajar-pelajar sekolah telah dipaksa untuk menghafal sejak di sekolah rendah lagi. Sebagai contoh, dalam subjek Matematik, murid-murid sekolah diwajibkan menghafal sifir 1 hingga sifir 12. Apabila mereka memasuki alam menengah, mereka terpaksa menghafal formula-formula Matematik. Apakah Malaysia ingin melahirkan warganegara yang tahu menghafal sahaja, tetapi tidak tahu konsep dan penggunaannya dalam kehidupan seharian ?.

    [3] Pemansuhan silibus / buku teks

    Tahukah anda, guru-guru sentiasa tertekan untuk menghabiskan silibus (walaupun ketika itu ramai pelajar yang masih belum faham). Silibus perlu dihabiskan dalam tempoh yang singkat (sama ada pelajar faham atau tidak faham). Guru-guru terlalu terikat pada silibus dan tidak boleh ‘melencong’ daripada apa yang ada dalam buku teks. Ini akan menjadikan otak pelajar sama seperti buku teks (tidak berkembang).

    [4] Pemansuhan penilaian secara atas kertas semata-mata

    Ramai pelajar yang aktif di padang, dalam unit beruniform, berdebat, berpantun dan lain-lain aktiviti luar kelas, tetapi semua itu seolah-olah tidak berguna kerana langsung tidak dinilai dalam peperiksaan. Seorang rakan saya pernah menghadiri satu sesi temuduga untuk satu jawatan. Si penemuduga tersebut berkata kepada rakan saya,”Saya tak mahu lihat ijazah awak, sebab semua itu hanya penilaian di atas kertas semata-mata. Saya tidak tahu sejauh mana potensi awak jika saya hanya menilai awak hanya dengan sekeping kertas sahaja. Saya cuma ingin tahu sama ada awak ada potensi atau tidak”.

    [5] Pemansuhan sistem penggal

    Ramai yang mencadangkan agar sistem semester dilaksanakan. Ini kerana tempoh ‘honeymoon’ pelajar dapat disingkatkan. Selain itu, sekiranya berlaku kegagalan kepada murid-murid Tahun 6, kegagalan tersebut pasti akan dirasai oleh semua guru. Jika sebelum ini, setiap kegagalan, yang dituding biasanya guru-guru Tahun 6 sahaja. Namun, apabila sistem mata timbunan (CGPA) dilaksanakan semua guru-guru terlibat, kerana murid-murid tersebut telah dinilai sejak Tahun 1 lagi.

    PENUTUP

    Oleh itu, sewajarnya kita semua berganding bahu, membantu Kementerian Pelajaran untuk membantu anak-anak kita berjaya pada masa hadapan. Mana-mana sistem baru pun mesti ada kelemahannya, namun, daripada tiada langsung pembaharuan, kita harus sokong kalau transformasi itu untuk generasi kita yang akan datang.

  10. Salam,

    Saya menerima cadangan kerajaan asalkan sistem peperiksaan UPSR dan PMR digantikan oleh sistem yang sewajar dengan sistem yang sedia ada. Maksud, Penggantian sistem yang lebih mudah dan dapat membantu para pelajar menimba ilmu tanpa berorientasikan peperiksaan semata-mata.

    Saya turut merasakan tekanan semasa berada dalam bangku sekolah rendah. Guru-guru dan para pelajar terpisah oleh dinding-dinding yang menandakan tahap kepandaian murid-murid mengikut keputusan peperiksaan. Malah, pengajaran sebenar tidak saya rasakan kerana guru-guru saya ketika itu terlalu khusyuk supaya kami menguasai soalan-soalan lazim peperiksaan.

    Fenomena sama turut berlaku semasa saya berada di peringkat Penilaian Menengah Rendah(PMR) . Saya merasakan ilmu yang saya pelajari hanya untuk peperiksaan, bukan kegunaan seharian. Kita perlu tahu bahawa matapelajaran seperti Kemahiran Hidup, Matematik, Sains dan Bahasa adalah untuk membantu kehidupan seharian kita yang bersangkut paut. Guru di sekolah banyak tidak menumpukan perhatian pada murid-murid lemah. Malah, hanya menyanjung dan memuji murid-murid yang cemerlang sahaja. Kita tidak tahu cemerlangnya mereka di dalam kertas semta-mata, atau adakah mereka memahami ilmu dipelajari?

    Akhir kata, saya menyokong dan mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk sentiasa membaik pulih sistem pendidikan negara. Bukan untuk sinis, sebelum ini banyak yang menyatakan pendapat sebulat suara bahawa pelajaran di Malaysia berasaskan peperiksaan semata-mata. Kini, apa salahnya kita sebulat suara bersetuju untuk menghapuskan takuk lama itu. Salam

  11. TIDAK WAJAR…kedua-dua peperiksaan dihapuskan. hal ini demikian kerana tidak ada lagi kayu ukur yang benar-benar telus dan tuntas yang dapat mengukur pencapaian murid-murid. jika penilaian berasaskan sekolah dilaksanakan.. nilai kesahan dan kebolehpercayaan sesuatu keputusan itu boleh dipertikaikan… seperti mana yg kami guru2 BM lakukan utk PLBS dan ULBS…

    apakah alternatif yg akan digunakan utk melayakkan seseorg utk melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh selepas thn 6?

    hanya dgn satu atau ujian kelayakan…benar2 boleh mengukur keupayaan murid-murid?
    jika ujian berbentuk pengetahuan am dan tingkah laku… bermakna murid-murid yg tak datang ke sekolah utk tempoh masa yg lama juga layak mendudukinya..?

    jika tiada pmr…tidak mustahil murid-murid mengambil langkah mudah… berhenti sekolah semasa tingkatan 2 atau 3 dan dtg semula mendaftar semasa tingkatan 5…utk peperiksaan… situasi ini sering berlaku di sekolah luar bandar termasuk sekolah saya

    realitinya, cikgu2 tidak menghadapi bebanan utk menglangsaikan silibus..dgn ada peperiksaan pengajaran cikgu lebih berfokus… wujud pertukaran soalan percubaan pmr dan spm antara negeri…lagi baik kan?

    jika tidak ada peperiksaan..jgn marah eh kalu cikgu2 ke sekolah setakat makan angin jer… penilaian berasaskan sekolah..jadi ikut suka cikgu nak ajar byk mana…n nak nilai apa…

    oleh itu, fikir2kan… hanya mereka yg bergelar pendidik yg mampu memikirkan kerelevenan idea tersebut

    kami cikgu2 nampak tanpa peperiksaan awam…kehidupan di sekolah lagi tidak terurus… nak prestasi sekolah baik…cikgu2 boleh buat soalan yyg mudah…lg mudah..tak perlu buat periksa…terus jer beri markah..nilai tgk muka murid-murid…beri markah agak-agak… nak ke mcm tu? modal insan yg dilahirkan tidak berkualiti…

  12. Assalamualaikum. MANSUHKAN UPSR/PMR??? Apa pendapat saya??

    PRAKONKLUSI
    Ada baik dan ada buruk mengenai cadangan dan pelaksanaan memansuhkan sistem penilaian berasaskan peperiksaan UPSR/PMR.

    TEMA PERBICARAAN/ HUJAHAN/ PERDEBATAN
    UPSR/PMR sebagai bentuk penilaian dalam sistem persekolahan di Malaysia.

    SIAPA BERKATA
    Saya adalah hasil keluaran kedua-dua penilaian ini. Pernah melalui kemelut UPSR dan pahit maung PMR. Pernah menjadi murid contoh dan murid terbaik akademik. Mewarisi kekreatifan kemantapan fikiran berdasarkan keperluan persekitaran melalui leluasa aktiviti kurikulum dan kokurikulum KBSR dan KBSM. Dan kini terlibat menjadi tenaga penyokong UPSR di sekolah. Maksud saya kini di sekolah luar bandar (pedalaman/ sekolah kurang murid).

    HUJAH SAYA
    Bagi saya, adalah terlalu sukar menyatakan bahawa UPSR/PMR telah tidak relevan ketika ini. Namun, memansuhkan kedua-duanya tidaklah salah.

    UPSR/PMR masih relevan kerana penyediaan dan keperluannya adalah felksibel dengan keperluan semasa. Ia tidak jumud atau statik. Saban tahun pasti akan ada suatu panel yang meneliti semula bentuk penilaian tersebut berdasarkan keperluan semasa tetapi masih berpaksi kepada format yang telah ditetapkan.

    Walau bagaimanapun, jika pihak berwajib (KPM dan pihak berkenaan) merasakan sudah tiba masa untuk memansuhkan bentuk penilaian ini maka itu terpulang kepada kebijaksaan mereka. Mereka sebagai jurutera pembentukan sistem pendidikan di Malaysia sudah pasti mempunyai idea atau acuan atau visi baru bersesuaian dengan perkembangan semasa negara, penduduk dan proses sosialisasi ketamadunan negara.

    Pengalaman Sudah
    Ada suatu ketika, saya pernah berfikir bahawa orientasi pendidikan negara sekitar tahun 1990an hingga 2000 (iaitu semasa belajar) terlalu berteraskan peperiksaan. Ia amat menyusahkan, menjemukan dan memenatkan.

    Namun, dari sudut peribadi seorang bergelar murid (UPSR) dan pelajar (PMR), peperiksaan UPSR dan PMR tersebut menjadi suatu motivasi/ batu loncatan/ inskripsi/ visi misi atau beberapa istilah lain seumpamanya yang mendorong diri sendiri untuk berusaha mempelajari beberapa mata pelajaran wajib.

    Ikhlas dinyatakan, nama saya tersohor lantaran kejayaan yang ditempah dalam peperiksaan tersebut. Namun demikian, jika ujian klinikal setara dengan ujian lisan berperingkatkan ilmu pengetahuan dan korelasi persekitaran, saya tidak teragak-agak menyatakan kita seperti Ibnu Sina atau Ibnu Razi ketika itu. Segala inci dan perisian mata pelajaran terpahat di dalam minda dan boleh diperguna sekelip mata.

    Itulah kelebihan UPSR/PMR ketika itu menjadi kunci penentu kejayaan/ pencapaian seorang murid/ pelajar. Ia seperti minyak petrol PRIMAX95 yang membolehkan kenderaan-kenderaan mesin berasaskan petrol bergerak. Tanpa PRIMAX95 kebarangkalian ia bergerak adalah sangat sukar dijangkakan. Melainkan ada minyak yang seumpamanya yang boleh digunakan untuk menggerakkannya.

    Bagaimana Dengan Pembentukan Sahsiah?
    Telah dinyatakan bahawa UPSR/PMR adalah suatu bentuk penilaian mata pelajaran dipelajari murid. Mengetahui setakat mana ilmu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan lain-lain dikuasai. Ia adalah ujian atas kertas yang menentukan kesahan curahan ilmu tersebut daripada guru kepada murid dan murid mengekalkannya dalam minda. Dengan kata lain, satu set ilmu/ fakta asas yang diletakkan dalam minda lalu mengira sejumlah set ilmu/ fakta yang mampu diingat di atas kertas.

    Contohnya, Rukun Islam 5 perkara. Apakah perkara-perkara tersebut? Murid yang tidak dapat menjawab sudah pasti tidak ada usaha mengingatinya. Bagi murid yang berusaha, kita akan dapati jawapan yang tepat. Atau murid yang kurang usahanya, akan menjawab 2 atau 3 perkara sahaja betul.

    Oleh yang demikian, apabila ilmu/ fakta telah terpahat dalam minda barulah dalam kehidupan seharian yang ditemui, fakta-fakta itu kemudiannya dapat dipergunakan. Hal mempergunakan ilmu/ fakta tersebut kemudian berbalik pula kepada akses/ jumlah ilmu/ fakta yang telah dipahat dalam minda/ dada/ sanubari murid/pelajar.

    Mengenai penerbitan walhasil ilmu/ fakta tersebut penilaiannya mengkhusus pula kepada bentuk lain. Ketika ini, UPSR/PMR tidak terlibat mengenainya. Yang terlibat adalah rekod-rekod tingkahlaku disiplin, rekod pencapaian kokurikulum, kurikulum dan beberapa bentuk penilaian yang ditetapkan. Rekod-rekod tersebutlah yang menilai pembentukan sahsiah murid/pelajar. Rekod ini tidak dapat disalin secara jasadiah di atas kertas. Namun, pemerhatian guru yang menjadi perantara kepada pemindahan rekod-rekod di atas kertas.

    Punca Kepada Istilah ‘Berorientasikan Peperiksaan’.
    Istilah ini sangat mekar diperdebatkan seawal akhir 1990an. (bukan sebelum ini tidak ada peperiksaan, ada cuma isu ini semakin mendapat perhatian media). Apakan tidak, percaturan sekolah-sekolah adalah berdasarkan peratusan/ pencapaian peperiksaan murid-muridnya (tidak lain tidak bukan UPSR/PMR).

    Sekolah yang disanjung adalah kelulusan 100% atau pencapaian A terbanyak. Bagaimana nasib sekolah-sekolah yang peratusan keluluasannya amat rendah dan mempunyai koleksi longgokan gred D dan E? Ranking sekolah juga ditentukan oleh pencapaian tersebut.

    Maka, setiap sekolah akan berlumba-lumba menangani permasalahan ranking dan pencapaian berasaskan peperiksaan. Yang baiknya adalah memang pencapaian sekolah-sekolah meningkat saban tahun. Bahkan, penggembelengan usaha pelbagai pihak dari peringkat sekolah, guru-guru, ibu bapa, persatuan, penggalak-penggalak pendidikan, penulis buku dan motivator-motivator peperiksaan, ilmu pengetahuan telah menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

    Kejayaan dan persaingan sama ada antara sekolah, guru-guru hatta sesama murid/pelajar darihal peperiksaan dan penguasaan ilmu/ fakta amat memberangsangkan. Ilmu pengetahuan itu sendiri telah menjadi motivator kepada kemenjadian sesebuah sekolah. Bukti kepada nikmat dan keseronokan tersebut ialah sehingga wujud idealisasi kaedah pembelajaran yang pelbagai (peta minda, motivasi muzik dan lain-lain). Bahkan, sehingga wujud murid yang sukarela sanggup mengambil kertas peperiksaan melebihi kertas wajib yang dapat disediakan di sesebuah sekolah.

    Di suatu sudut yang tersorok dan suaranya antara keluar dengan tidak pula wujud sekolah-sekolah dan murid-murid yang agak-agak antara ‘terdesak’, ‘terpaksa’ dan ‘memang mesti lakukan’ dengan perkembangan tersebut. Membentuk kemenjadian murid dan sekolah secara sukar. Ini tidak lain tidak bukan ialah sekolah yang agak tertutup dengan perkembangan tersebut. Kebanyakannya adalah sekolah-sekolah pedalaman.

    Mereka mencatur antara kemenjadian murid dari sudut budaya masyarakat dengan budaya persekolahan. Isu kekurangan guru vs kerja pentadbiran banyak vs murid sedikit vs kemudahan kurang/tiada begitu berpengaruh. Mudah atau tidak membentuk murid-murid dan barisan penggerak sekolah bergantung kepada budaya masyarakat. Apapun, sekolah-sekolah ini tetap juga terlibat dengan sistem ranking berasaskan peperiksaan.

    Hanya saja ada sekolah yang mampu berubah, ada juga yang dalam proses perubahan dan ada juga yang sukar berubah kerana sebab-sebab yang sukar dielakkan. Itu semua bergantung kepada imbangan budaya masyarakat dan budaya sekolah tersebut. Yang pasti pencapaian sekolah adalah berdasarkan peperiksaan.

    Akhirnya, semua sekolah berpaksi kepada betapa pentingnya UPSR/PMR dalam sekolah mereka. Kerana itulah, mercu tanda pencapaian sekolah mereka. Kesimpulannya, ‘berorientasikan peperiksaan’.

    Wajar atau Tidak Pemansuhan?
    Pada pendapat saya, peperiksaan adalah instrumen utama dalam pendidikan. Walaupun kita memansuhkan UPSR/PMR, instrumen seperti UPSR/PMR tetap juga akan timbul secara semulajadi. Peperiksaan atas kertas adalah memang tidak boleh tidak.

    Isu pemansuhan, hanyalah kerana peperiksaan itu sendiri (iaitu UPSR/PMR) yang dikatakan berorientasikan peperiksaan. Itu benar. Namun demikian, memansuhkannya kemudian mewujudkan satu lagi bentuk penilaian yang masih menggunakan pen/pensil dan kertas (atau cara baru komputer-taip dan hantar) adalah suatu yang melucukan. Bukankah ia adalah sama?

    Memansuhkan kemudian tidak melaksanakan peperiksaan atas kertas juga sesuatu yang patut difikirkan semula dalam konsep instrumen pendidikan. Apa akan diuji tanpa menulis? Apa akan diputuskan tanpa menguji?

    Oleh itu, terpulang kepada pemikir mengenai hal ini. Isu ini mudah. Iaitu peperiksaan. Tapi perlu diingat, tanpa peperiksaan/ujian apakah yang boleh digunakan untuk menilai seseorang murid. Tin sardin yang dicipta oleh ahli sains pun akan melalui peringkat ujian untuk menentukan keberkesanannya. Tetap juga direkod, ditulis, disimpan dan diberi pemarkahan (penilaian sendiri oleh saintis).

    Jadi Apa Perlu Dilakukan?
    Sebenarnya, sistem penilaian pendidikan di Malaysia sudah lengkap. Peperiksaan sudah ada, yang kurang adalah kita tidak memberi kredit kepada penilaian rekod sekolah (sahsiah-output kendiri murid).

    Di mana sahaja pusat pendidikan, slip keputusan peperiksaan adalah keutamaan. Namun, rekod-rekod lain seperti disiplin, sahsiah, kurikulum dan kokurikulum belum mendapat tawaran mengagumkan untuk diperhatikan. Bukan tidak ada, sebaliknya kredit yang sama kepada rekod-rekod tersebut kurang diberikan.

    Isu berorientasikan peperiksaan, tidak akan wujud lagi sekiranya, kriteria penilaian yang diambil kira telah diberi imbangan antara peperiksaan (UPSR/PMR/lain-lain yang baru) tambah dengan (wajib) rekod-rekod persekolahan. Pemarkahan 50-50 atau 40-60 atau 60-40 atau yang sesuai boleh digunakan. Bukankah ia sesuatu yang ideal.

    Akhirnya, peperiksaan tetap peperiksaan yang kekal dan mempunyai kesahan yang tinggi bagi memberi ranking pencapaian sekolah/ murid dari segi intelektual. Sementara rekod-rekod mempunyai nilaian kesahan yang tinggi terhadap kesimbangan jasmani, emosi dan rohani murid.

    KONKLUSI
    Wajar atau tidak UPSR/PMR dimansuhkan adalah bergantung kepada pihak berkenaan. Apapun, memberi kewajaran kepada keseimbangan penilaian antara peperiksaan dengan rekod-rekod sekolah sebagai mercu tanda pencapaian sekolah adalah lebih wajar dipertimbangkan.

  13. rafiah bt abu bakar

    Saya membantah tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia sekiranya UPSR dan PMR di mansuhkan…contohnya seperti anak saya yg sedang belajar di tingkatan 1, guru guru nya hanya menekan PBS (Pentadbiran Berasaskan Sekolah) tanpa menghiraukan akademik… Kita tidak boleh mengikut sistem pendidikan negara maju kerana pendidikan mereka tidak sama seperti negara kita.. Saya berharap Menteri Pelajaran Malaysia berubah fikiran untuk menukar kembali seperti sediakala.. supaya semua pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran yang sebenar….harap maklum…

  14. Sistem pendidikan sedia ada ni dah bagus. Janganlah setiap kali bertukar Menteri Pelajaran, maka sistem pendidikan pun berubah juga. Yg penting, cara pihak sekolah mempelbagaikan & mengaplikasikan corak pembelajaran di sekolah masing-masing. Barulah murid-murid rajin & berdaya saing

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 859 other followers

%d bloggers like this: