NUTP Bantah Cadangan KPM Memanjangkan Tempoh Pengajian KPLI

2009 Jun 15
by Abu Musaddad

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah cadangan Kementerian Pelajaran memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) daripada setahun kepada 18 bulan.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata tempoh setahun sudah memadai kerana pelatih terbabit sebelum ini sudah menghabiskan masa empat tahun di universiti. “Jika kita fikir secara logik mereka sudah belajar bertahun-tahun di universiti. Kalau dicampur dengan tempoh belajar pada peringkat KPLI jika ia dilanjutkan, hampir enam tahun baru mereka dapat merasa gaji,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Datuk Misrah Ibrahim, berkata pihaknya kini pada peringkat akhir memuktamadkan kertas kerja mengenai cadangan itu dan paling awal ia akan dilaksanakan pada pengambilan Januari depan.

Misrah berkata, keputusan itu diambil berikutan desakan pelbagai pihak yang mendakwa tempoh setahun sekarang kurang berkesan dalam melahirkan guru berkualiti.

Hashim sebaliknya mencadangkan supaya tempoh latihan praktikal dilanjutkan, berbanding tiga bulan sekarang.

Beliau juga mencadangkan sistem pengambilan ke KPLI diperkemaskan bagi memastikan pelajar betul-betul berminat untuk menjadi guru.

“Saya mencadangkan supaya kementerian mengadakan minggu suai kenal selama dua minggu bagi memberi ruang kepada pelajar untuk menarik diri daripada menyertai KPLI jika merasakan tidak sesuai untuk berkhidmat sebagai guru.

“Sistem ini diguna pakai bagi pengambilan kadet anggota tentera dan polis. Jika yang terpilih semuanya terhadap profesion keguruan, maka kerajaan tidak akan rugi dan mereka pun cepat dapat berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, juga berpendapat bahawa tempoh setahun pengajian KPLI sudah memadai.

Aminah bersetuju jika tempoh praktikal pelajar KPLI dilanjutkan bagi memberi pendedahan sewajarnya kepada bakal guru.

“Apa yang penting adalah kandungan dan penyampaian pedagogi dengan sempurna, pembelajaran secara mikro serta latihan tiga bulan di sekolah dapat membantu mereka menjadi guru yang berkualiti,” katanya.

SUMBER BERITA : Berita Harian Online

Satu Respons leave one →
  1. 2009 Jun 16
    shafifah permalink

    Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin(Ahli Majlis Fatwa N.Sembilan),
    Hari ini di Surau Kemensah Heights
    Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir,
    Tarikh : 16 JUN 2009 (SELASA – MALAM INI)
    Masa : Lepas Solat Maghrib & Bacaan Ratib Al-Haddad
    Tempat : Surau Kemensah Height, belakang Zoo Negara.

    http://pondokhabib.wordpress. com

Tinggalkan jawapan

Note: You can use basic XHTML in your comments. Your email address will never be published.

Subscribe to this comment feed via RSS